Ahad, 3 Disember 2023

Api Hutan Merebak Di Taginambur


Beberapa minggu setelah kebangunan rohani di Bario, Roh Api merebak ke Taginambur. Sebelum kejadian ajaib ini, Roh Kudus sudah bergerak dalam kalangan penduduk Kristian. Dengan semahu-Nya, Roh Kudus menyentuh jemaah di kampung sini.

Ronald Nugent yang melayani sebagai pastor di Gereja Presbyterian Perth memberi kesaksian tentang kejadian ini. “Ketika kebangunan rohani terjadi di Sabah, saya seorang guru di Kota Belud yang jaraknya kira-kira satu setengah jam dari utara Kota Kinabalu kalau kita guna kereta. Kebangunan rohani ini terjadi di kalangan orang Dusun berdekatan Kota Belud pada cuti akhir 1973. Kesaksian ini terbatas kepada kesaksian saya dan apa yang dapat saya imbas kembali enam belas tahun kemudian.

Tanda-Tanda Permulaan

Beberapa minggu sebelum curahan Roh Kudus, sudah wujud tanda-tanda Dia sedang bergerak dalam hati penduduk sini. Pada November 1973, saya masuk ke pedalaman bersama tiga orang deakon gereja SIB Taginambur, sebuah kampung orang Dusun, sepuluh batu menghala ke selatan kota Belud. Di perjalanan ini, saya bersaksi Tuhan bergerak dengan sungguh ajaib dengan cara yang belum saya saksikan sebelum ini.

Kami tinggalkan Kota Belud pada khamis 15hb November dan mengembara ke selatan Kota Kinabalu; kemudian kami menuju ke Papar dengan keretapi. Dari sana, kami menaik perahu panjang ke sungai Papar ke permatang kampung orang Dusun. Kami meluangkan petang mengajar dan menggalakkan orang Kristian kampung ini.

Esoknya kami mengambil keretapi ke Beaufort, di sana kami bertukar lagi keretapi dan menempuh landasan terjal yang menelusuri jurang yang terhakis oleh Sungai Padas. Kami tiba di Parang Besar, sebuah tanah lapang yang dibersihkan dari hutan rimba. Kami bermalam dalam sebuah gubuk yang terpinggir dan terpampang pada lereng bukit curam. Keluarga Dusun yang tinggal di sana sungguh lapar akan persekutuan Kristian; kami sungguh gembira bersekutu bersama mereka.

Pada hari Sabtu 17hb November, kami menghala ke Sungai Padas lalu ke Tenom; di sana kami mengunjungi serangkaian kampung orang Murut. Kami meluangkan sepanjang petang Sabtu dan Ahad berkhutbah di gereja-gereja SIB. Tuhan bersama kami namun tidak ada sesuatu yang luarbiasa terjadi.

Sesuatu Yang Hairan Terjadi

Pada petang khamis minggu itu, kami bersaksi karya Tuhan dengan cara yang hairan. Hari Isnin dan Selasa, kami berada di kampung orang Tagal, Nahawan, selatan timur Keningau. Pada hari Rabu, kami melayani sekumpulan orang yang begitu berminat tetapi kami tidak melihat sambutan seperti malam Khamis.

Pada malam Khamis, kami berjalan ke sebuah kampung orang Dusun yang terletak antara jalan utama antara Keningau dan Tambunan. Gereja SIB padat sewaktu Yapin Gimpoton seorang guru daripada rombongan kami berkhutbah dalam Bahasa Dusun. Setelah Yapin berkhutbah, mereka bertaubat hingga awal pagi, baru ibadat diakhiri.

Kami meluangkan sepanjang hari Jumaat mengembara melalui Tambunan, Kota Belud, lalu dari Tuaran ke Ranau. Sepanjang hari Sabtu pada 24hb dan 25hb November, kami berkhutbah kepada gereja SIB di kota. Sambutan terhadap khutbah Yapin sama seperti yang terjadi di kampung kecil petang Khamis. Saya teringat seorang pastor mengakui di ibadat bahawa dia telah mengabaikan tugas pengembalaan kerana sibuk dengan pertanian dan meminta pengampunan daripada gerejanya.

Sepanjang jalan kembali ke Kota Belud pada 26th November, kami memuji Tuhan terus menerus atas yang dilakukan-Nya. Walaupun kami tidak mengatur orang lain untuk mengurus kedatangan kami, ke mana saja kami pergi, baik dengan taxi mahupun keretapi, pasti ada orang datang menyambut kami. Kami memuji Tuhan kerana kebanyakan anggota gereja yang bertaubat adalah mereka yang berundur dalam kehidupan rohani mereka. Tanpa kami sedari, itu hanya permulaan segala yang lebih hebat dalam beberapa hari lagi. 

Kebangunan Rohani Tercetus Di Taginambur

Saya tidak ada tarikh tepat tentang kebangunan rohani yang terjadi di Taginambur. Saya masih menyimpan sepucuk surat yang saya tulis kepada keluarga saya di Perth dari Taginambur. Saya menjelaskan tentang pelayanan kami di pedalaman tetapi saya tidak menyebut tentang kebangunan rohani di Taginambur. Walaupun kebangunan rohani itu belum mulai, sewaktu saya menulis surat itu, kebangunan rohani terjadi pada petang itu juga. Tetapi kami begitu pasti bahawa kebangunan rohani bermula pada petang minggu pertama bulan Disember.

Pada waktu percutian panjang di sekolah, satu kursus Alkitab telah diselenggarakan bagi kanak-kanak dan pemuda-pemudi di Taginambur. Kanak-kanak dan pemuda-pemudi tidak hanya datang dari Taginambur tetapi juga dari kampung lain di Sabah. Seorang misionari perempuan, Cik Thelma Johnson dan seorang pekerja SIB datang dari Lawas untuk menolong.

Sementara kanak-kanak menghadiri SAPH, ibu bapa mereka bekerja di sawah padi. Menjelang petang, ibu bapa mereka berkumpul di bangunan besar di Taginambur untuk beribadat. Pada suatu petang, pengkhutbah Gereja Baptis berkhutbah dan sambutan khutbahnya luarbiasa.

Jemaat Dipenuhi Roh Kudus

Dia berkhutbah tentang Roh Kudus dan mengundang mereka yang ingin dipenuhi Roh Kudus untuk menampil keluar. Segera, banyak bergegas ke depan untuk didoakan, segera gereja itu diselubungi doa alamiah.

Seluruh jemaah dalam suara berdoa, dan ada yang begitu dipenuhi Roh Kudus sehingga ada yang rebah. Yang lain dipenuhi sukacita dan tidak dapat menahan kegembiraan sehingga melompat-lompat dan berdansa seraya memuji Tuhan. Peristiwa ini kelihatan kelam kabut dan mengelirukan akan tetapi saya dipenuhi perasaan kekaguman dan takwa.

Sekitar waktu ini, saya mendengar alunan nan indah dan merdu bergema dalam bangunan ini. Seorang pemuda yang duduk di tepi saya, murid saya bertanya, “Muzik apa tu?” Muzik itu nan indah sehingga saya menjawab, “Mungkin itu nyanyian malaikat!” Kemudian baru saya sedar muzik itu datang daripada beberapa orang yang sedang bernyanyi dalam harmoni tanpa nota muzik mahupun konduktor muzik.

Kini, enam belas tahun kemudian saya tidak dapat ingat bila kami mengakhiri ibadat kerana sepanjang malam terdengar tangisan dan bunyian doa penduduk kampung. Perasaan teruja bercampuran kekeliruan tercetus selama beberapa hari sehingga program SAPH terpaksa dihentikan.

Kebangunan Rohani Merebak Ke Kampung-Kampung Lain

Mereka yang datang dari kampung lain bersedih atas sendiri, yang lain bergembira kerana diampuni, ada pula meragukan kejadian itu. Kebangunan rohani ini merebak kepada kampung orang Dusun yang lain dan berlanjutan hingga ke awal 1974.”

Peristiwa ini terjadi sewaktu mereka sedang mengadakan kem Sekolah Minggu dan pemuda-pemudi sewaktu cuti sekolah. Thelma Johnson dan Setimah Seriou dari Sarawak menjadi pembimbing kem ini. Kem ini diatur selama lima hari tetapi tidak dapat diakhiri kerana keadaan kelam kabut ketika semuanya bermula. Setelah hari pertama, banyak orang berbahasa lidah dan ini bermula dengan kanak-kanak. Kanak-kanak berkata mereka menampak seekor burung putih berterbang ke dalam kelas sewaktu mereka berdoa. Ini suatu penglihatan yang kurang biasa, mereka pun meninggalkan kelas untuk berdoa di gereja. Sewaktu mereka pergi ke sana, mereka memberitahu orang lain apa yang dilihat oleh mereka.

Pada kebaktian malam seorang pastor dari gereja Baptis yang bernama Kionsom berkhutbah. Dia berkhutbah tentang Roh Kudus dan mulai berdoa dengan suara nyaring; anggota-anggota gereja yang lebih dewasa dan kanak-kanak disirami Roh Kudus. Beberapa orang mengalami seperti deruan angin kencang dan yang lain mengalami seperti bangunan bergegar, dan yang lain melihat obor api. Semakin banyak orang dipenuhi Roh Kudus doa semakin nyaring.

Keajaiban gejala Roh Kudus yang dilihat Kionsom bukanlah sesuatu yang asing baginya. Beberapa bulan sebelum ini, dengan ajaib dia melihat Roh Kudus bergerak dalam kalangan pemuda pemudi. Pernah beberapa pemuda pemudi yang semakin mendekat Tuhan terlibat dalam satu kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke kem pemuda-pemudi. Walaupun ada yang menderita patah tulang, mereka tetap menghadiri kem itu. Dengan sikap yang sungguh-sungguh, mereka menyerahkan kehidupan mereka kepada Tuhan, dan mereka bersyukur kerana penyembuhan mereka begitu cepat sehingga mereka segera mengabarkan Injil.

Bagaimanakah perasaan Asang terhadap semua fenomena kebangunan rohani ini? Dalam sepucuk surat kepada kawannya, Harry, dia mencurahkan perasaan yang bercampuran. “Tak dapat disangkal ini memang karya Tuhan tetapi tidak semestinya semua yang terjadi ini datang daripada Roh Kudus. Kekeliruan yang terjadi menurutnya mungkin disebabkan oleh kekurangan ajaran tentang kebangunan rohani dan kuasa Roh Kudus.”

Dalam dokumen PERGILAH TIMUR, TREVOR WHITE (Halaman 195-200)