Jumaat, 24 November 2023

Silap Komunikasi, Program Krismas TVS Diteruskan Mengikut Jadual


KUCHING: Stesen televisyen tempatan, TVS hari ini berkata, produksi program 'A Christmas Carol, Sarawak in Diversity' akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 3 Disember.

TVS dalam satu kenyataan bersama Unit Hal Ehwa Agama-Agama Lain (UNIFOR) hari ini berkata, program itu akan disiarkan menerusi TVS pada 23 Disember.

“Mengenai catatan terbaharu di media sosial berhubung dakwaan pengecualian lagu 'O Holy Night' daripada program Krismas kami yang akan datang, kami ingin menjelaskan bahawa silap komunikasi telah berlaku dalam kalangan pihak yang terlibat dalam program itu.

“Adalah penting untuk diketengahkan bahawa penganjur tidak berniat untuk mengecualikan lagu tersebut daripada program itu, malah sebenarnya mereka sedang berusaha untuk memasukkan lagu terbabit dan sedang bersungguh-sungguh menyediakan semua elemen yang diperlukan untuk persembahannya,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, objektif utama program itu adalah untuk mewujudkan acara muzikal bertemakan Christmas Carol yang menampilkan penyertaan seramai 1,500 individu.
 
“Matlamatnya adalah untuk mempamerkan inti pati perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum Sarawak, penerimaan perbezaan kaum, agama dan budaya,” katanya.

Terdahulu, difahamkan Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) telah menolak jemputan TVS untuk menyertai program Krismas saluran televisyen itu minggu depan selepas ia menolak permintaan persatuan itu untuk menukar salah satu lagu.


Dalam surat kepada UNIFOR bertarikh 13 November, ACS berkata ia telah meminta TVS menggantikan lagu ‘Jingle Bells Rock’ dengan ‘O Holy Night,’ namun ia ditolak.

ACS berkata, permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan dengan alasan terdapat elemen keagamaan dan juga berikutan protokol daripada daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terkejut dan kesal apabila lagu Krismas dijadikan sebagai satu isu oleh pihak tertentu. 

Ketua Pemuda SUPP Datuk Michael Tiang berkata, lebih mengejutkan perkara sedemikian tidak pernah berlaku selama ini, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan. 

“Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ASC) hanya memohon untuk menukar lagu ‘Jingle Bell Rock’ dengan ‘O Holy Night’ namun ditolak kerana dikatakan ada elemen keagamaan.  

“Kami sangat terkejut, sejak bila lagu Krismas menjadi isu dan tidak dibenarkan untuk disiarkan.

“Krismas adalah perayaan agama seperti Deepavali dan Hari Wesak dan apabila kita mengundang gereja untuk program meraikan Hari Krismas, kita perlu meghormati cara mereka meraikan Hari Krismas dengan menyanyikan lagu Krismas,” ujarnya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil hari ini berkata SKMM tidak terlibat dalam keputusan TVS mengenai pemilihan lagu Krismas untuk program itu. 

Menurut Fahmi, program tersebut adalah berbentuk rakaman dan tidak memerlukan kelulusan SKMM. 

Justeru, SKMM tidak terlibat dalam proses membuat keputusan tersebut, katanya menerusi catatan di laman sosial media X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

(Diambil darsipada artikel Utusan  Borneo Online bertajuk, "Silap Komunikasi, Program Krismas TVS Diteruskan Mengikut Jadual" bertarikh 24 November 2023)