Ahad, 17 Disember 2023

Tiada Halangan Ucapan Krismas Atas Kek - Jakim


Bahagian Pengurusan Halal di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tiada halangan ke atas pemegang sijil halal menulis ucapan perayaan pada kek untuk dibawa pulang oleh pelanggan.

Ini berlaku selepas pekeliling dalaman dari kedai kek yang mengingatkan kakitangan untuk tidak menulis ucapan Krismas pada kek mereka kerana bimbang melanggar pensijilan halal syarikat.

"Sekali lagi ingin dimaklumkan bahawa tiada halangan bagi premis pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menulis sebarang bentuk tulisan berkaitan ucapan perayaan pada kek atau seumpamanya.

Justeru itu, buat semua pemegang SPHM, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada Jakim atau JAIN/MAIN terlebih dahulu jika terdapat sebarang kekeliruan berkaitan pensijilan halal Malaysia," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini dipetik media berkata dia telah mengarahkan bahagian itu untuk mengeluarkan kenyataan segera berhubung perkara itu.

“Saya telah mengarahkan jabatan halal di bawah Jakim mengeluarkan kenyataan segera yang menjelaskan perkara itu dengan jelas terutama kepada pemegang sijil halal.

“Saya juga telah meminta mereka menghasilkan video mengenai isu itu bagi memastikan semua orang faham,” katanya seperti dilapor The Star.



Kedai kek terbabit dalam pekeliling bertarikh 14 Dis 2023 dan ditandatangani oleh pengurus operasi kedai roti itu mendakwa larangan berkenaan adalah untuk mematuhi dan memenuhi keperluan pensijilan halal oleh Jakim.

Pemilik kedai roti itu masih belum menjawab pertanyaan mengenai pekeliling yang dikatakan.

Pada 1 Nov, Jakim menangani isu yang sama kerana artikel lain mengenai penggunaan ucapan Krismas pada kek.

Jakim ketika itu memaklumkan bahawa ucapan perayaan dibenarkan pada produk jika ia tidak dibuat dengan tujuan untuk dipamerkan di premis yang mempunyai sijil halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal.

Terdahulu, Daniel Teoh, pengurus operasi Berry’s Cake House dilaporkan berkata bahawa kedai roti itu tidak mempunyai pilihan selain mematuhi peraturan atau berisiko kehilangan sijil halalnya.

Dia berkata berikutan pekeliling itu dikeluarkan, kedai roti itu kini dituduh sebagai rasis, sedangkan mereka hanya ‘mengikut arahan’.

"Kami hanya mengikut arahan. Kami bukan suka-suka melakukan ini. Apa yang akan berlaku jika mereka (Jakim) tiba-tiba mengaudit kami? Mereka akan membatalkan sijil halal kami," katanya kepada portal berita FMT.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Tiada Halangan Ucapan Krismas Atas Kek - Jakim" bertarikh 17 Disember 2023)