Selasa, 19 Disember 2023

Jakim Batal Larangan Ucapan Perayaan Bukan Islam Di Kek


Kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah membatalkan arahan yang dibuat  pada 2020 yang melarang premis perniagaan yang mempunyai sijil pengesahan halal untuk menulis sebarang ucapan perayaan bukan Islam pada tempahan kek atau seumpamanya.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Jakim berkata arahan berkenaan tidak lagi terpakai.

“Jakim akan membuat semakan dan membuat penilaian semula terhadap mana-mana perkara berkaitan dalam manual prosedur pensijilan halal Malaysia (MPPHM).

“Kenyataan Jakim terdahulu pada tahun 2020 adalah tidak terpakai dengan penjelasan ini,” kata jabatan itu.

Mengikut arahan 2020 itu, premis yang mempunyai pensijilan halal tidak dibenarkan mempamerkan produk yang mengandungi logo halal dengan sebarang ucapan bukan Islam.

Isu itu timbul sejak kebelakangan ini apabila Jakim menjelaskan tiada larangan bagi pemegang sijil halal menulis ucapan sebarang perayaan pada kek yang dibeli  oleh pelanggan.

Isu ini menjadi tular susulan pekeliling dalaman dari sebuah syarikat kek yang memberitahu kakitangannya supaya tidak menulis ucapan "Selamat Hari Krismas" pada kek kerana dikhuatiri melanggar pensijilan halal syarikat mereka.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Jakim Batal Larangan Ucapan Perayaan Bukan Islam Di Kek" bertarikh 18 Disember 2023)