KUALA LUMPUR: Terdapat keterangan kukuh menunjukkan kerajaan dan ejennya terlibat dalam kes penculikan Pastor Raymond Koh, menurut Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya bagi saman yang difailkan terhadap kerajaan dan pihak polis.
Hakim Su Tiang Joo berkata, isteri Koh, Susanna Liew, berjaya membuktikan melalui keterangan mengikut keadaan bahawa wujudnya penglibatan ejen kerajaan dalam insiden itu.
“Cara operasi oleh ejen tidak dikenali itu yang begitu
canggih mencadangkan ia didalangi sebuah badan berinstitusi,” katanya semasa
membacakan penghakiman.
Menurut hakim, pihak kerajaan juga gagal mengemukakan sebarang penjelasan berhubung rentetan peristiwa tersebut dalam pernyataan pembelaan.
Su juga berkata, walaupun terdapat rakaman CCTV dan saksi
kejadian, siasatan polis dilihat tidak bersungguh-sungguh, ‘berkemungkinan
kerana mereka sendiri terlibat’.
“Operasi itu mengambil masa tidak sampai seminit, dan sudah
pasti ia menuntut perancangan rapi dan persiapan logistik yang teliti,”
katanya.
“Ini bukan satu tindakan rambang. Fakta ini membolehkan
mahkamah membuat kesimpulan bahawa (penculikan Koh) angkara sebuah unit
terancang.”
Menurut mahkamah, seorang lelaki bernama Lam Chang Nam
pernah didakwa pada 2017 atas ‘penculikan’ Koh, namun dakwaan itu kemudiannya
ditarik balik.
“Pegawai penyiasat (Supari Muhammad) sendiri mengakui tiada
keterangan yang menunjukkan penglibatan Lam,” tambah Su.
Hakim itu juga mendedahkan bahawa kerajaan sedia maklum
mengenai seorang individu, Saiful Bahari Abdul Aziz, yang didakwa hadir ketika
Koh diculik, tetapi memilih untuk tidak mendedahkan perkara itu.
Hak Liew untuk tahu keberadaan Koh dinafikan
Mahkamah turut memutuskan kerajaan memungkiri kewajipan
statutori kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya berhubung
kehilangan Koh.
“Plaintif (Liew) berjaya membuktikan bahawa seorang atau
lebih defendan menyalahgunakan kuasa awam dengan niat jahat untuk mendatangkan
mudarat kepada beliau dan suaminya,” katanya.
“Kemudaratan yang ditanggung plaintif sebahagian besarnya
berpunca daripada penafian haknya untuk mengetahui (keberadaan Koh) serta
tindakan kerajaan yang ‘menggagalkan’ inkuiri sebelum ini.”
Justeru, hakim mengarahkan siasatan baharu dibuka berhubung
penculikan Koh, dan memerintahkan ketua polis negara menggugurkan Supari serta
pegawai-pegawai lain daripada siasatan kes itu.
“Pihak polis perlu memulakan semula siasatan dan melaporkan
hasil dapatan kepada Jabatan Peguam Negara setiap dua bulan,” kata Su.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu melalui Jalan
SS4B/10 di Petaling Jaya.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bagaimana lima
lelaki bertopeng yang memakai pakaian serba hitam ala tentera mengheret Koh
keluar dari keretanya.
Liew sebelum ini memfailkan saman terhadap pihak polis dan
kerajaan berhubung penglibatan kerajaan dalam kehilangan suaminya, serta cara
siasatan kes itu dikendalikan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, Su mengarahkan kerajaan dan pihak polis membayar
pampasan lebih RM37 juta kepada keluarga Koh atas penglibatan kerajaan dalam
penculikan Koh.
Hakim memutuskan bahawa seorang atau lebih defendan, yang
terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam
penculikan Koh dan bertindak atas arahan lapan tahun lalu.
