Jumaat, 7 Ogos 2015

Pintu Masuk Ke Gat, Kota Asal Goliat Ditemui

"Pintu Goliat" - pintu masuk ke kota Gat ditemui

Satu pintu gerbang besar yang telah ditemui di Israel mungkin menandakan pintu masuk ke sebuah kota alkitabiah, yang pada waktu kegemilangannya, adalah kota terbesar di wilayah itu. Kota itu, yang dipanggil Gat diduduki sehingga kurun kesembilan Sebelum Masihi. Dalam penceritaan alkitabiah, orang-orang Filistin - musuh ketat umat Israel - memerintah di kota itu. Perjanjian Lama juga mengisahkan Gat sebagai kediaman Goliat, pahlawan gergasi yang telah direbahkan oleh Raja Daud dari Israel dengan satu humbanan batu. Penemuan baru ini menunjukkan betapa megahnya kota kuno Filistin itu, kata Aren Maeir dari Universiti Bar-Ilan di Israel, ketua kaji purba untuk penggalian ini. 

Pintu gerbang yang besar dan diperkuatkan ini menunjukkan betapa besar dan berkuasanya kota ini dahulu. - Aren Maeir dari Universiti Bar-Ilan di Israel, ketua kaji purba

Pasukan penggali sedang menggali parit untuk mencari tembok pertahanan kota kuno itu apabila mereka menemukan bahagian atas pintu gerbang yang besar dan yang telah diperkuatkan. Oleh kerana tembok-tembok yang masih tinggal itu begitu besar, ianya mungkin mengambil masa beberapa musim untuk menggalinya sepenuhnya, kata Maeir. Setakat ini hanya permukaan atas strukur-struktur binaan itu kelihatan, tetapi berdasarkan saiz dan bentuk batu-batu yang digunakan untuk pembinaannya, tembok-tembok kota itu dipercayai sangat besar. Benteng yang sangat diperkuatkan itu dipercayai telah menjadi satu halangan besar yang menghalang Kerajaan Yehuda dari berkembang ke arah barat, tambahnya. 


Penggalian di Israel telah menemukan pintu dan tembok pertahanan ke kota kuno Gat

(Diterjemah daripada artikel Yahoo News bertajuk, "Goliath Gates: Entrance To Famous Biblical Metropolis Uncovered" bertarikh 4 Ogos 2015)