Jumaat, 17 Jun 2016

Euro 2016: Daniel Sturridge Mengucap Syukur Selepas Jaring Gol Kemenangan Menentang Wales


Daniel Sturridge berkata dia "bersyukur kepada Tuhan" untuk gol kemenangannya semasa waktu kecederaan dalam kemenangan England menentang Wales di kejohanan Euro 2016.

England mengalahkan Wales 2-1 untuk menduduki tempat teratas kumpulan mereka dengan baki satu perlawanan lagi sebelum pusingan kalah mati. Kedudukan perlawanan itu tidak berganjak dari 1-1 untuk tempoh yang panjang separuh masa kedua selepas Gareth Bale meletakkan Wales di depan pada separuh masa pertama dan wira Leicester Jamie Vardy menyamakan kedudukan selepas 52 minit.

England melancarkan serangan demi serangan sepanjang separuh masa kedua tetapi gagal mendapatkan gol kemenangan sehingga waktu kecederaan tiga minit ditambahkan. Sturridge yang turun ke padang sebagai pemain simpanan separuh masa kedua, berjaya melepasi pertahanan Wales pada minit-minit terakhir untuk merebut kemenangan bagi England.



Dalam temuramahnya selepas permainan, Sturridge. seorang Kristian yang komited, memuliakan Tuhan kerana mengizinkannya menjaring gol.

"Ianya perasaan yang hebat. Sukar untuk dipercayai," dia memberitahu BBC. "Saya bersyukur kerana diberi kesempatan daripada pengurus pasukan. 

"Dan saya bersyukur kepada Tuhan kerana mengizinkan saya menjaringkan gol."





Sturridge berkata bahawa dia tidak ingin menjadi terlalu teruja mengenai kemungkinan England layak ke pusingan kalah mati tetapi berkata ianya "perasaan yang hebat" untuk mewakili negaranya menentang Wales. 

"Suasananya sukar untuk dipercayai. Tidak banyak permainan di mana kita dapat suasana seperti ini. Rasanya hebat dapat bantu rakan-rakan memenangi perlawanan ini."

Pemain serangan Liverpool ini bersifat lantang mengenai imannya. Pada Piala Dunia yang lepas, dia merayakan satu gol dengan mengucapkan, "Aku mengasihi-Mu Yesus. Dan aku memuji-Mu Bapa." Dia sering memperkatakan mengenai iman di media sosial dan menghantar tweet ayat-ayat Alkitab atau foto-foto dari gereja. Ketika dia memenangi anugerah Pemain Terbaik Bulanan Barclays pada 2013, dia merayakan dengan menyebut Filipi 4:13. 


Ditanya samada dia berharap akan dipilih dalam kesebelasan utama England selepas golnya, Sturridge berkata itu terserah kepada pengurus England, Roy Hodgson.

Dia menambah, "Saya bersyukur kepada Tuhan sebab saya memiliki iman yang besar pada-Nya."

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Euro 2016: Daniel Sturridge 'Grateful To God' After Scoring Winner Against Wales" penulisan Harry Farley bertarikh 16 Jun 2016)