Khamis, 25 Ogos 2016

10 Fakta Menarik Mengenai Pungutan Pingat Malaysia Di Olimpik (Dulu Hingga Sekarang)

(Sumber grafik: Wikipedia, The Star)  

Berikut 10 fakta menarik mengenai pungutan pingat oleh Malaysia di Olimpik;

1. Malaysia telah mengambil bahagian buat pertama kalinya di Olimpik pada tahun 1956 di Melbourne. Pada tahun itu Malaysia telah menyertai di bawah nama "Persekutuan Tanah Melayu". Dalam tempoh penyertaan selama 60 tahun, Malaysia telah memenangi 11 pingat di Olimpik.

2. Badminton merupakan penyumbang pingat yang terbanyak dengan 8 pingat, diikuti sukan terjun (2 pingat) dan lumba basikal (1 pingat). 

Badminton:  6 perak, 2 gangsa
Sukan Terjun:  1 perak, 1 gangsa
Lumba Basikal:  1 gangsa


Razif & Jalani Sidek mencipta sejarah memenangi pingat Olimpik pertama Malaysia di Barcelona

3. Pingat pertama Malaysia telah diperolehi di Olimpik Barcelona 1992 melalui sukan badminton, yang pertama kalinya diperkenalkan di Sukan Olimpik. Pasangan adik-beradik, Razif dan Jalani Sidek telah berjaya mencipta sejarah bagi Malaysia dengan merangkul pingat gangsa dalam acara beregu lelaki. Mereka telah kalah kepada pasangan Korea Selatan, Park Joo-bong dan Kim Moon-soo 11-15, 13-15 di separuh akhir untuk memperolehi gangsa. (Pada waktu itu, tiada pertandingan untuk tempat ketiga, kedua-dua pasukan yang kalah dalam separuh akhir secara automatik mendapat gangsa).


Cheah Soon Kit & Yap Kim Hock di Atlanta
4. Empat tahun kemudiannya, di Atlanta, badminton menyumbang dua pingat lagi untuk Malaysia melalui Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock (pingat perak untuk beregu lelaki) dan Rashid Sidek (pingat gangsa untuk perseorangan lelaki). 

Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock kalah di perlawanan akhir kepada pasangan Indonesia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky 15-5, 13-15, 12-15. 

Rashid Sidek pula meraih gangsa selepas mengalahkan pemain Indonesia, Hariyanto Arbi 5-15, 15-11, 15-6 untuk tempat ketiga.

Lee Chong Wei di Olimpik London 2012
5. Di Beijing 2008, Lee Chong Wei telah memenangi pingat perak bagi perseorangan lelaki badminton. Dia kalah kepada pemain tuan rumah merangkap juara dunia, Lin Dan dalam perlawanan akhir 12-21, 8-21.

6. Lee Chong Wei bertemu sekali lagi dengan Lin Dan di perlawanan akhir di Olimpik London 2012. Berbeza dengan empat tahun sebelumnya di mana Chong Wei kalah mudah kepada Lin Dan, pada perlawanan akhir kali ini, Chong Wei memberi saingan sengit kepada Lin Dan dalam perlawanan mendebarkan sebelum tewas 21-15, 10-21, 19-21.


Pandelela Rinong beraksi dalam acara terjun 10m platform di Olimpik London 2012

7. Di Olimpik London juga, Pandelela Rinong telah melakukan kejutan dengan memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10m platform individu wanita di London Aquatic Centre. Ini merupakan kali pertama Malaysia memenangi pingat dalam acara bukan badminton.

Pandelela mendapat tempat ketiga di belakang Chen Ruolin dari China, dan Brittany Broben dari England, untuk mendapatkan pingat Malaysia yang pertama dalam sukan terjun  di Temasya Olimpik.


(Foto: New Sunday Times)  

8. Sukan Olimpik Rio 2016 menyaksikan kontinjen Malaysia meraihkan bilangan pingat terbanyak (4 perak dan 1 gangsa) dalam sejarah penyertaannya di kejohanan Olimpik. Pingat-pingat telah diperolehi melalui acara badminton dan terjun, serta untuk pertama kalinya, sukan lumba basikal.  

Perak:  Lee Chong Wei (perseorangan lelaki - Badminton)
Perak:  Goh V Shem & Tan Wee Kiong (beregu lelaki - Badminton)
Perak:  Chan Peng Soon & Goh Liu Ying (beregu campuran - Badminton)
Perak:  Pandelela Rinong & Cheong Jun Hoong (10m platform seirama - Terjun)
Gangsa:  Azizulhasni Awang (keirin - Lumba Basikal)

(Baca laporan lanjut pemenang-pemenang pingat Malaysia di Olimpik Rio di sini).

9. Lee Chong Wei merupakan pemenang pingat Olimpik yang terbanyak untuk Malaysia dengan 3 perak dalam acara peseorangan lelaki badminton melalui tiga kejohanan Olimpik yang disertainya. Pandelela Rinong merupakan pemenang pingat kedua banyak dengan dua pingat iaitu perak 10m platform seirama wanita dan gangsa 10m platform individu wanita. 


Rashid Sidek
10. Adik-beradik Sidek telah memenangi dua pingat badminton di Olimpik. Razif dan Jalani Sidek telah mendapat pingat gangsa dalam acara beregu di Barcelona, manakala Rashid Sidek telah mendapat pingat gangsa perseorangan lelaki di Atlanta empat tahun kemudian. Abang mereka, Misbun Sidek tidak pernah memenangi pingat di Olimpik, tetapi pernah menjadi jurulatih kepada Lee Chong Wei, jaguh badminton yang kini memiliki tiga pingat perak. Seorang lagi adik mereka, Rahman Sidek juga pernah menjadi pemain negara.


Berikut ialah senarai penuh pungutan pingat oleh Malaysia di Olimpik:

(Sumber: Wikipedia)  

Dapatkah Malaysia meneruskan kecemerlangan dan memenangi emas di Olimpik Tokyo 2020 kelak?

Kita tunggu dan lihat... Sayonara!