Sabtu, 31 Disember 2016

2017 - Menjejaki Hari Baru Dengan Hati Baru

  
Tahun yang lama sudah tiba penghujungnya, kita akan memasuki Tahun Baru dalam masa beberapa jam lagi. Apakah harapan dan impian anda untuk Tahun Baru?

Pagi tadi saya teringat mengenai dua hal yang penting untuk memasuki Tahun Baru:

Hati yang Baru - Kita perlu memasuki tahun baru dengan hati yang baru. Tidak ada manfaatnya kita memasuki tahun yang baru dengan sikap dan gaya hidup yang lama. Apakah sikap hati baru yang harus kita miliki pada tahun akan datang? 

Setiap orang akan memiliki jawapannya yang berbeza untuk soalan itu. Bagi saya, saya telah meletakkan tema peribadi untuk tahun 2017 - "Mencari dan Mencintai Tuhan." Oleh itu, saya akan mendasarkan sikap hati saya pada tema itu. 

Hari yang Baru - Setiap tahun ramai orang akan membuat tekad tahun baru, dan walaupun itu sangat baik, kita hanya hidup sehari demi sehari. Oleh itu kita harus bersyukur untuk setiap hari yang Tuhan berikan, dan menjalani setiap hari dengan penuh hikmat. 

Apakah yang anda akan lakukan pada setiap hari? Saya bertekad untuk bangun lebih awal untuk mencari Tuhan, untuk memiliki waktu bersendiri dengan Tuhan. Lepas itu, saya ingin jalankan rancangan harian yang akan saya sediakan untuk mencapai matlamat hari itu.

Kalau saya dapat mencapai matlamat harian saya, itu akan membantu saya lebih dekat mencapai matlamat tahunan saya. 

Untuk membantu anda merancang matlamat Tahun Baru anda, berikut adalah beberapa cadangan yang anda boleh ikuti:

Apakah kemahiran baru yang anda ingin pelajari tahun ini?
Apakah bahasa baru yang anda ingin pelajari?
Apakah buku-buku yang anda akan baca tahun ini?
Apakah persahabatan yang anda ingin jalinkan?
Apakah hubungan keluarga yang perlu dipereratkan?
Apakah projek baru yang anda ingin laksanakan?
Apakah matlamat rohani peribadi yang anda ingin capai?

Selamat Tahun Baru dan semoga mencapai hajat dan impian di tahun baru!