Selasa, 10 Januari 2017

Faiz Subri Menang Anugerah Puskas FIFA 2016

Mohd Faiz Subri menerima Anugerah Puskas daripada pemain bolasepak Brazil, Ronaldo
di majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Zurich awal pagi tadi

Mohd Faiz Subri mencipta sejarah selepas menjadi pemain Asia pertama memenangi Anugerah Puskas dalam majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016 di Zurich, Switzerland, awal pagi tadi.

Anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu mengetepikan dua lagi calon akhir, Jonath Marlone Azevedo da Silva (Brazil) dan Daniuska Rodriguez (Venezuela), selepas diumumkan legenda Brazil, Ronaldo.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan pasukan Pulau Pinang, rakan sepasukan, jurulatih, keluarga dan semua yang mengundi saya," katanya dalam ucapan ringkasnya selepas diumumkan pemenang.

Faiz, 30, yang ditemani Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah, kelihatan tenang ketika diumumkan sebagai pemenang. Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, turut hadir sebagai tetamu.

Bagaimanapun, ketika mengambil alih rostrum, Faiz mencuit hati hadirin apabila mengambil masa sedikit lama untuk mencari teks ucapan di dalam telefon bimbitnya.

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan Faiz ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

Pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, adalah penerima pertama anugerah itu pada 2009, disusuli pemain Turki, Hamit Altintop (2010), Neymar dari Brazil (2011), pemain Slovakia, Miroslav Stoch (2012), pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovic (2013) dan James Rodriguez dari Colombia (2014).

Pada 2015, pemain tidak terkenal dari Brazil, Wendell Lira, yang bermain untuk Club Goianesia, menjadi pemenang anugerah itu. 

Anugerah itu mengambil sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang mencipta kejayaan besar bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan kehebatan pasukan Hungary pada era itu.





Senarai pemenang Anugerah FIFA 2016:

Pemain Lelaki Terbaik: Cristiano Ronaldo (Portugal)

Pemain WanitaTerbaik: Carli Lloyd (AS)

Jurulatih Lelaki Terbaik: Claudio Ranieri (Itali)

Jurulatih Wanita Terbaik: Silvia Neid (Jerman)

Anugerah Fair Play: Atletico Nacional (Colombia)

Anugerah Puskas: Mohd Faiz Subri (Malaysia)

Anugerah Peminat: Penyokong Borussia Dortmund dan Liverpool.

Kesebelasan Terbaik Dunia FIFPro: Manuel Neuer, Dani Alves, Gerard Pique, Sergio Ramos, Marcelo, Luka Modric, Toni Kroos, Andres Iniesta, Lionel Messi, Luis Suarez dan Cristiano Ronaldo.

Lihat juga: 2 Jaringan Gol Yang Paling Viral Dalam Dua Minggu Lepas

(Diambil daripada artikel Stadium Astro bertajuk, "Anugerah Puskas FIFA 2016 Milik Faiz Subri" bertarikh 10 Januari 2017)