Selasa, 10 Januari 2017

Yesus Berbicara Kepada Militan Islam Yang Sedang Memburu Orang-Orang Kristian, "Mengapakah Engkau Menganiaya Aku?"

 
Sekumpulan Muslim Arab yang sedang mengejar orang-orang Kristian berkata suatu ribut debu tiba-tiba terbentuk di jalanraya, memaksa mereka menghentikan pengejaran mereka, apabila Yesus muncul kepada mereka dan berbicara dengan "suara yang perkasa."

Haroon (bukan namanya yang sebenar) berkata dia dan 19 orang lagi militan Islam telah diberitahu bahawa sekumpulan orang Kristian akan mengadakan acara baptisan. Mereka menaiki kenderaan mereka dan bergegas ke tempat itu dengan niat membunuh semua orang di situ. 

Tujuan mereka, kata Haroon, adalah menimbulkan ketakutan di kalangan orang-orang Kristian di sekeliling dunia dan menghentikan mereka daripada menyampaikan berita baik itu kepada orang-orang Islam di negara mereka, menurut Bibles for Mideast. 

Bagaimanapun ketika mereka tiba, mereka meilhat bahawa orang-orang Kristian itu sedang beredar dari situ. Mereka sudah menaiki bas dan dalam perjalanan balik ke gereja. 

Militan itu tidak berhenti, mereka mengejar bas itu dan mula menembak ke arahnya. 

Rizwan, yang di antara mereka yang dibaptis pada hari itu di Laut Arab, mengingat kembali bahawa kesemua orang yang berada di atas bas menyangka bahawa mereka akan mati pada hari itu. 

"Mungkin militan-militan itu merancang untuk membunuh kami semasa acara baptisan di laut. Tetapi rupanya acara kami selesai lebih awal, dan kami cuba berpatah pulang," katanya.

Apabila pemandu bas mereka menambah kelajuan, para militan itu juga memandu lebih laju dan masih berterusan menembak mereka," kata Rizwan. 

Kemudiannya tanpa amaran, suatu ribut debu terbentuk "dalam beberapa saat" dan menyembunyikan bas itu daripada pandangan militan-militan itu. 

Rizwan berkata bahawa mereka merasa bahawa Yesus sendiri telah muncul dalam ribut debu untuk menyekat jalan dan melindungi mereka daripada militan-militan itu, yang akhirnya berhenti mengejar dan menembak mereka. Mereka semua memuji Tuhan dan sampai kembali ke gereja dengan selamat. 

Apa yang mereka tidak tahu adalah Yesus telah menampakkan diri kepada militan-militan itu.

Haroon berkata sambil ribut debu itu terus mengganas, militan-militan itu terpaksa memberhentikan kenderaan-kenderaan mereka kerana mereka tidak dapat melihat apapun. 

"Kami tidak dapat maju ke hadapan," katanya. "Kami semua turun dari kereta kami dan terus menembak menerusi ribut debu itu."

Tiba-tiba, Yesus muncul dalam ribut debu itu. Haroon berkata dia kelihatan "marah" dan matanya adalah seperti "api yang menyala."

"Mengapakah engkau menganiaya Aku? Sukar bagimu menendang ke galah rangsang," Yesus berkata kepada mereka dengan suara yang perkasa. 

Suaranya begitu berkuasa sehingga ketika dia berbicara, satu angin yang kuat telah merebahkan mereka dan menerbangkan senapang-senapang mereka. Haroon berkata seluruh kejadian itu adalah suatu "pengalaman yang buruk."

Sambil mereka berusaha untuk berdiri, mereka menyedari bahawa mereka tidak dapat bercakap. Mereka merasa takut, namun pada masa yang sama mereka merasa damai, suatu pengalaman yang benar-benar baru bagi mereka. 

Haroon berkata Yesus memberitahu mereka bahawa dia "datang ke dalam dunia bukan untuk membinasakan sesiapa; tetapi untuk menyelamatkan'" dan dia memberitahu mereka untuk "Pergi dengan damai." Kemudiannya dia lenyap, dan ribut debu itu juga lenyap. 

Kesemua daripada mereka, kecuali dua orang, memuji Tuhan, tetapi mereka berselisih pendapat di kalangan mereka mengenai samada apa yang mereka lihat itu dari Tuhan atau tidak. 

Selepas insiden itu, kumpulan Haroon tidak lagi diberikan tugas yang "berunsur militan."

Walaupun pengalaman itu telah menyebabkannya ingin tahu mengenai Yesus, Haroon tidak meletakkan kepercayaannya dalam Kristus sehingga beberapa hari kemudian apabila keluarganya sedang mengelilingi unggun api di padang pasir. Seekor ular yang berbisa mengggigit adik perempuannya Hajira. Apabila adiknya dibawa ke hospital, para doktor berkata bahawa dia akan mati.

Ketika Hajira tertidur, malaikat telah muncul kepadanya dan memberitahunya mengenai Yesus, "Juruselamat dan Penyembuh itu." Dia berkongsi kisah itu kepada Haroon apabila dia terbangun. dan mereka berdoa dan meminta Yesus menyelamatkan mereka. 

Mereka kedua-duanya terkejut apabila Pastor Paul dari Bibles for Mideast, yang di kalangan kumpulan Kristian yang ingin dibunuh oleh Haroon dan militan-militan lain, memasuki bilik itu. Dia berkata malaikat telah memberitahunya untuk melawat mereka dan juga telah memberikannya nama-nama mereka. 

Pastor berkongsi Injil dengan mereka, dan Haroon dan adik perempuannya mengakui dosa-dosa mereka dan menyerahkan hidup mereka kepada Kristus. Pastor Paul juga berdoa untuk Hajira, yang disembuhkan sepenuhnya daripada gigitan ular itu. 

Ketika ayah mereka mendengar apa yang telah berlaku pada Hajira, dia juga menyerahkan hidupnya kepada Kristus. Bukan sahaja seluruh keluarga Haroon diselamatkan, 17 orang daripada militan dalam kumpulan mereka juga telah diselamatkan. 

Mereka kini sedang berdoa untuk dua orang lagi militan dalam kumpulan mereka untuk mengenali Kristus.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Gospel Herald bertajuk, "Jesus Speaks To Islamist Militants Hunting Down Christians: 'Why Do You Persecute Me?'" yang ditulis oleh Suzette Gutierrez-Chachila bertarikh 23 Disember 2016)