Jumaat, 26 Januari 2018

'Rozain' Terlibat Culik Amri, Kata Rakan Aktivis Hilang

Mohammad Faisol Abdul ialah kenalan Amri Che Mat dan saksi ke-3 inkuiri Suhakam
(Foto: Free Malaysia Today)

KUALA LUMPUR: Seorang sahabat kepada aktivis Amri Che Mat yang hilang sejak lebih setahun lalu hari ini menamakan individu bernama “Rozain” yang menurutnya terlibat dalam penculikannya.

Mohammad Faisol Abdul, yang merupakan kenalan Amri dan juga terlibat dalam pertubuhan amalnya Perlis Hope, memberitahu panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) hari ini yang maklumat itu sudah diberitahu kepada polis.

Menurutnya, beliau menerima maklumat itu yang disalurkan menerusi tiga yang lain, beberapa hari selepas Amri hilang.

“Maklumat itu adalah dari seseorang yang mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut. Maklumat ini saya dapat dari rakan bernama Hafiz, yang dapat maklumat dari Hisham, dan diberitahu oleh Azri.

“Apabila saya dapat maklumat tersebut, saya terus beritahu Inspektor Khor,” katanya merujuk pegawai polis yang menyiasat kehilangan Amri.

Amri, 44, hilang sejak 24 November 2016 lepas, dan menjadi subjek panel Suhakam, di samping 2 lagi lain yang hilang secara misteri.

Sebelum ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang kenderaan suaminya sebelum dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Isnin lalu, Norhayati memberitahu Suhakam yang Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pernah ke rumahnya bersama kira-kira 20 pegawai Jabatan Mufti Perlis dan polis untuk menyoal siasat berhubung dakwaan Amri mengamalkan Syiah, mazhab yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Faisol berkata, beliau tidak mengenali Rozain namun berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Rozain adalah warga tempatan yang menetap di Kangar.

“Sebelum itu juga, saya bertemu dengan Azri untuk meminta penjelasan perkara ini. Azri bila saya jumpa dia seperti takut-takut. Apabila tanya mengenai Rozain, dia cuba hendak mengelak, dia agak panik.

“Selepas dari itu, saya bertemu dengan rakan saya Mukhriz yang lebih rapat dengan Azri untuk ‘cross check’ mengenai Rozain. Dia (Mukhriz) kata kepada saya, memang Rozain, dia adalah sepupu Azri,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status muflis Amri, Faisol berkata tidak tahu bahawa aktivis itu diisytihar bankrap pada 2008.

“Dia kelihatan seperti tidak ada masalah kewangan, kerana dia hidup seperti biasa. Tidak nampak unsur atau tanda yang dia ada masalah kewangan.

“Dia tidak pernah minta wang dari saya, dia juga tidak pernah mengadu terima ancaman kerana masalah kewangan,” katanya yang turut menyedari Amri terlibat dalam aktiviti tukaran wang.

Surat Jabatan Hal Ehwal Agama Perlis bertarikh 21 September 2016

Faisol yang juga jurucakap Perlis Hope berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) mengedarkan satu surat kepada semua sekolah di negeri itu bagi menghalang orang ramai menyertai aktiviti mereka dalam usaha “menghentikan penyebaran ajaran Syiah”.

Dalam surat bertarikh 21 September 2016 yang ditandatangani Pengarahnya, Dr Hazman Hassan, Jaips meminta semuya sekolah menghalang Perlis Hope menyertai program anjuran sekolah selepas hasil siasatan pihaknya mendapati NGO itu “disyaki cenderung kepada ajaran Syiah dengan bertopengkan aktiviti berunsurkan kebajikan”.

Faisol yang juga saksi ke-3 inkuiri itu turut menepis dakwaan Jaips yang Perlis Hope terbabit dalam ajaran Syiah atau penyebaran mana-mana agama.

“Perlis Hope tidak mengadakan sebarang aktiviti keagamaan dan satu daripada peraturan kami menekankan tiada mesej agama dalam kumpulan WhatsApp kami.”

Katanya, NGO itu tidak pernah dipanggil untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan itu dan Perlis Hope pernah bekerjasama dengan NGO lain dan jabatan kerajaan sebelum surat itu diedarkan.

“Kami pernah bekerja dengan Jabatan Kesihatan Perlis untuk membantu orang miskin dan sehari sebelum program itu, saya menerima panggilan daripada pembantu pengarah jabatan yang memberitahu saya program itu dibatalkan.

“Saya rasa mereka hanya salah faham terhadap niat kami. Kami membatalkan program itu, tetapi masih mengagihkan pakaian sekolah di luar lokasi penganjuran program itu di Kangar, Perlis.”

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "'Rozain' Terlibat Culik Amri, Kata Rakan Aktivis Hilang" yang ditulis oleh Adam Abu Bakar bertarikh 25 Januari 2018)