Iman Setiawan Sitepu, adik lelaki kepada Ruth Sitepu |
BARU-baru ini dua beradik dari Indonesia datang ke Kuala
Lumpur untuk membuat laporan polis atas kehilangan kakak mereka, Ruth Sitepu,
yang hilang pada November 2016.
Laporan polis itu bagaimanapun bukan sekadar laporan
mengenai orang hilang. Ruth adalah isteri kepada Pastor Joshua Hilmy, yang
asalnya beragama Islam, hilang pada November 2016 dan antara empat
individu dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Tidak banyak yang diketahui mengenai pasangan berusia 49
tahun ini sehinggalah kehilangan Ruth dilapor oleh adik lelakinya, Iman
Setiawan Sitepu, 37, dan adik perempuannya, Ram Ram Elisabeth,42, pada akhir
bulan lepas.
Keluarga Ruth tinggal di sebuah kampung nelayan, Nambiki di
Sumatera Utara. Keluarga Ruth mendapat tahu mengenai kehilangannya pada Mac
tahun lepas, tetapi tidak dapat datang ke Malaysia lebih awal atas kekangan
kewangan.
Menurut Iman, keluarga mereka terkejut apabila mendapat tahu
Ruth, yang lahir sebagai Kristian, hilang walaupun sering berhubung dengan
mereka.
"Kali terakhir kami bercakap dengan dia ialah pada
November 2016. Dia gembira sahaja, tiada masalah. Kebiasaannya dia akan
menelefon dua kali dalam sebulan untuk bercakap dengan isteri saya dan kami
adik-beradik.
"Disember 2016, adik lelaki saya, Guan, menelefonnya
tetapi tiada siapa yang jawab. Sejak November, Ruth juga tidak menelefon tetapi
kami fikir mugkin dia sibuk mengikut Joshua.
"Sehinggalah pada Mac tahun lepas, seorang rakan di
Indonesia memberitahu yang Ruth dan Joshua hilang. Ketika itulah kami mula
bimbang tentang keselamatan mereka," beritahu Iman kepada The Malaysian
Insight.
Ram Ram, adik perempuan Ruth Sitepu |
Dengan bantuan gereja di Indonesia dan rakan-rakan Ruth yang
mengumpul duit untuk keluarganya, Iman dan Ram Ram datang ke Kuala LUmpur pada
bulan lepas untuk membuat laporan polis.
Iman memberitahu, Ruth datang ke Malaysia pada 2000 dan
mendapat kerja di sebuah kedai menjahit di Ipoh, Perak. Pada 2004, dia bertemu
dengan Joshua di Perak, dan mereka berkahwin pada 2006. Mereka berdua kemudian
ke Indonesia untuk bertemu keluarga Ruth.
"Kami juga adakan kenduri kahwin untuk mereka di
Indonesia. Joshua beritahu kami yang dia beragama Islam dan sudah murtad. Tidak
banyak yang dia beritahu tentang dirinya," beritahu Iman.
Kata Iman, Ruth dan Joshua kemudian balik ke Malaysia dan
datang semula ke Nambiki pada 2007, dan mula menternak ikan. Mereka tinggal di
sana sehinggalah balik semula ke Malaysia pada 2009.
Tahun yang sama, mereka ke Indonesia semula untuk mengahdiri
majlis pengebumian bapa Ruth. Itulah kali terakhir Ruth bertemu keluarganya,
namun masih terus berhubung.
"Kalau mereka larikan diri, atau berpindah, mereka akan
hubungi kami. Sebab itu kami fikir mereka diculik," kata Iman.
Orang pertama yang melaporkan kehilangan pasangan itu ialah
Peter Pormannan, yang tinggal di Klang. Peter berkata dia bertemu Ruth dan
Joshua di Klang pada 2012.
Joshua datang kepada saya dan kami berbual. Apabila saya
dapat tahu kami sama-sama Kristian, saya ajak dia minum. Kemudian kami
bertukar-tukar nombor telefon dan saling berhubung," kata penjual insurans
berumur 55 tahun itu.
Kata Pormannan, beberapa bulan kemudian Joshua
menghubunginya, memberitahu yang dia sudah tidak bekerja dan dia serta Ruth
memerlukan tempat tinggal.
"Saya berbincang dengan isteri saya untuk benarkan
mereka tinggal di rumah ibu mertua saya yang juga di Klang."
Peter Pormannan, kawan kepada Ps Joshua Hilmy |
Joshua dan Ruth menetap selama setahun di Klang sehinggalah
mereka berpindah ke sebuah rumah satu tingkat di Kampung Tunku di Petaling Jaya
pada hujung 2013.
Jelas Pormannan, kebiasaannya mereka akan bertemu sebulan
sekali dan sering menelefon dua kali dalam sebulan. Dia juga menegaskan yang
Joshua tidak banyak bercerita mengenai latar belakang dirinya.
Kali terakhir Pormannan bertemu Ruth dan Joshua ialah pada
September 2016 di rumah pasangan itu di Petaling Jaya.
"Dua anak saya yang belajar di Petaling Jaya menyewa
salah sebuah bilik di rumah mereka. Saya ke sana untuk hantar makanan dan
berbual dengan Joshua. Itulah kali terakhir saya lihat mereka berdua,"
katanya.
Selepas beberapa bulan tidak mendengar khabar dari Joshua,
Pormannan membuat laporan polis di Balai Polis Klang Selatan pada Mac tahun
lepas.
Katanya, tiga minggu selepas itu polis memanggilnya untuk
merakam keterangan. Dia juga membawa polis ke rumah pasangan terbabit dan
terkejut bila melihat pokok Krismas masih ada di dalam rumah dan pakaian mereka
juga masih ada di dalam bilik.
Suhakam menjalankan siasatan awam bagi menentukan sama ada
Joshua dan Ruth, serta Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, yang
kesemuanya hilang antara November 2016 dan Februari 2017, adalah kes kehilangan
paksa yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Siasatan akan bersambung esok. – 18 Mac, 2018
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Siasatan Suhakam Diteruskan, Dua Beradik Indonesia Lapor Kehilangan Kakak" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 18 Mac 2018)