Selasa, 17 April 2018

Berdoa Untuk Negara Tercinta


Seminggu lepas saya melihat poster lukisan ini dari kawan di kumpulan WhatsApp. Saya tak tahu pula dari mana kawan itu mendapatkannya atau siapa pelukis poster itu. Tapi saya tertarik dengan kata-kata dalam poster itu - "We love Malaysia, Pray for Malaysia."

Dalam lukisan itu, sekumpulan rakyat dari pelbagai bangsa dan keturunan berkumpul di sekeliling bendera Malaysia dengan kad-kad sepanduk laungan untuk kesejahteraan Malaysia.

Semakin hari semakin kita merasakan bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan pada 9 Mei 2018. Marilah kita sama-sama mendoakan untuk kesejahteraan dan keharmonian negara.

Doakanlah agar:

1. Seluruh proses pilihan raya akan berjalan dengan lancar dan aman.

2. Pasukan keselamatan negara akan menjalankan tugas dengan tegas dan saksama untuk menjamin ketenteraman awam.

3. Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan tugas mereka dengan cekap dan amanah.

4. Calon-calon pilihan raya yang baik dan jujur dipilih menjadi wakil rakyat dan ahli dewan undangan negeri.

5. Para pengundi akan turun mengundi beramai-ramai dan membuat pemilihan yang bijak dan teliti.

"We love Malaysia" and "Praying for Malaysia!"