Saya mendapat mimpi yang agak pelik beberapa tahun lepas. Saya bermimpi menjadi seorang pemain bola sepak yang sedang beraksi di tengah padang. Oleh kerana lebih mudah menceritakan mimpi itu melalui foto, saya akan gunakan foto (katakanlah saya Roberto Firmino dari pasukan Liverpool, ehem...)
Dalam mimpi itu saya melihat diri saya menendang bola...
Kemudian saya melihat diri saya mengejar bola.
Tiba-tiba saya menyedari saya sendiri saja yang melakukan semuanya. Walaupun terdapat pemain-pemain yang sepasukan dengan saya di padang, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa, hanya tercegat di situ melihat saya melakukan segalanya.
Saya juga yang melakukan sepakan, membuat hantaran, lalu sendiri juga yang mengejar bola, dan berebut-rebut bola dengan pemain lawan. Akhirnya saya menjadi tersangat letih.
Saya terbangun dari tidur, agak terkejut dengan mimpi itu. Tapi pada masa yang sama, saya juga memahami maksud mimpi itu. Sepanjang pelayanan di gereja, saya telah kurang melatih orang lain memainkan peranan mereka masing-masing. Oleh itu ahli-ahli gereja tidak tahu peranan mereka. dan tidak berani melakukan tugas mereka. Mereka hanya bergantung kepada saya untuk melakukannya.
Pelajaran dari mimpi itu:
1. Anggota-anggota gereja perlu tahu peranan dan tugas mereka di gereja.
2. Anggota-anggota gereja perlu dilatih untuk menjalankan peranan dan tugas mereka.
3. Saya tidak akan keletihan jika setiap ahli gereja tahu dan melakukan tugas mereka masing-masing.
Saya mengakui bahawa memberikan tugas dan melatih pelayan bukanlah kekuatan saya, tetapi bila saya mengingat kembali mimpi itu, saya menyedari bahawa inilah tugas yang saya perlu laksanakan... mulai sekarang.