Rabu, 24 Oktober 2018

Josh Harris Katakan Goodbye Kepada "I Kissed Dating Goodbye"


Oleh Josh Harris:

Selama bertahun-tahun, orang telah bertanya kepada saya samada saya masih bersetuju dengan buku saya I Kissed Dating Goodbye. Tambahan lagi kepada soalan itu, ada pembaca-pembaca yang memberitahu saya bahawa buku itu telah memudaratkan mereka.

Dua tahun yang lepas, saya telah memulakan proses menilai semula buku itu. Itu termasuklah menjemput orang ramai untuk berkongsi kisah-kisah mereka di laman web saya, panggilan telefon peribadi dengan pembaca-pembaca, suatu kajian mendalam mengenai isu-isu yang berkisar sekeliling buku saya oleh salah seorang profesor kolej saya, dan akhirnya menghasilkan sebuah filem dokumentari yang merakamkan perbualan orang-orang yang membentuk semula pemikiran saya. 

Bagi saya, adalah penting untuk proses penilaian semula ini mendapat maklum balas orang-orang dan suara-suara lain. Ianya agak berpanjangan kerana saya tidak ingin bersifat ambil ringan dalam respons saya, dan saya telah mendedahkannya secara umum kerana saya fikir bahawa penilaian semula itu harus selaras dengan jangkauan umum buku saya. 

Manakala saya masih berpegang kepada seruan buku saya agar mengasihi orang lain secara ikhlas, pemikiran saya telah berubah dengan banyak dalam masa dua puluh tahun  yang lalu. Saya tidak lagi bersetuju dengan idea utama buku itu bahawa dating haruslah dielakkan. Kini saya berfikir bahawa dating boleh menjadi sebahagian yang sihat dalam peribadi seseorang yang sedang bertumbuh dalam perhubungan dan dalam mempelajari sifat-sifat yang paling penting pada pasangannya. Saya mengesyorkan buku-buku seperti Boundaries in Dating oleh Dr. Henry Cloud dan True Love Dates oleh Debra Fileta, yang menggalakkan dating secara sihat.

Terdapat juga kelemahan-kelemahan lain: dalam usaha untuk meletakkan standard yang tinggi, buku itu telah menekankan amalan-amalan (tidak berdating sebelum perkahwinan) dan konsep-konsep (menyerahkan hati anda) yang tidak ada dalam Alkitab. Dalam usaha memberi amaran kepada orang ramai mengenai potensi bahaya dalam berdating, ianya telah menyemaikan ketakutan bagi sesetengah orang - ketakutan melakukan kesilapan atau ketakutan hancur hati. Buku itu juga memberikan gambaran bahawa kaedah tertentu perhubungan akan membawa kepada kebahagiaan abadi - perkahwinan yang hebat, hubungan seks yang hebat - walaupun  itu tidak dijanjikan oleh Kitab Suci. 


Kepada mereka yang telah membaca buku saya yang telah dibawa ke arah yang salah dan telah dipengaruhi secara kurang manfaat olehnya, saya secara ikhlas meminta maaf. Saya tidak pernah bermaksud melukakan anda. Saya tahu permohonan maaf ini tidak akan mengubah apa-apa untuk anda dan ianya datang terlalu lewat, tetapi saya mahu anda untuk mendengar bahawa saya menyesali dengan apa cara pun idea-idea saya telah menghalangi anda, melukakan anda, atau telah memberikan anda pandangan yang kurang dari alkitabiah mengenai diri anda, seksualiti anda, perhubungan-perhubungan anda, dan Tuhan.

Dan bagi mereka yang telah mendapat manfaat daripada buku saya, saya amat bersyukur bahawa sesuatu yang telah saya tulis telah membantu anda. Hakikat bahawa seseorang yang berkesilapan boleh menulis sebuah buku yang berkesilapan dan dengan cara tertentu itu dapat membantu sesetengah orang, itu adalah sesuatu yang mengkagumkan saya. Tetapi untuk meminjam analogi daripada industri automotif, jika sesebuah kereta membantu sesetengah orang tetapi memiliki kesilapan reka bentuk yang membawa mudarat kepada orang-orang lain, maka niat yang baik oleh pembuat kereta dan juga sokongan daripada pelanggan-pelanggan lain tidak akan menutupi masalah itu. Saya tidak dapat memanggil kembali semua naskah buku saya yang telah diterbitkan. Bagaimanapun, kritikan secara umum dari saya secara bertulis dan tayangan, dan pelbagai temubual media yang telah saya lakukan dalam masa dua tahun yang lepas, adalah usaha saya dalam memohon maaf dan menyebarkan berita mengenai masalah yang saya lihat pada buku itu. 

Memandangkan kesilapan yang saya kini lihat pada I Kissed Dating Goodbye, saya fikir ianya baik untuk menghentikan penerbitannya, dan juga sumber-sumber sampingan berkaitan dengannya (termasuk dua buku yang telah saya tulis selepasnya yang kandungannya adalah serupa). Penerbit saya, yang telah memberi dorongan yang amat bermakna kepada saya dalam proses ini, menyokong keputusan ini dan tidak akan menerbitkan semula buku-buku itu selepas naskah-naskah yang sedia ada dalam simpanan mereka telah dijual. 

Samada anda bersetuju atau tidak, saya berharap anda akan berfikir untuk diri anda sendiri dan menunjukkan kasih kepada mereka yang pengalamannya berbeza dengan anda. 

Terima kasih kerana membaca. Saya ucapkan yang terbaik dalam perjalanan anda.

(Diterjemahkan daripada artikel laman Josh Harris bertajuk "A Statement On 'I Kissed Dating Goodbye'")