Rabu, 2 Januari 2019

PAS Tawau Mohon Maaf Isu Bantahan Krismas

Kiri: Kumpulan anggota PAS membuat laporan polis membantah perayaan Krismas di Tawau,
Kanan: Surat PAS Tawau dua hari kemudian memohon maaf isu bantahan Krismas.

KOTA KINABALU: Pas Kawasan Tawau hari ini memohon maaf atas kekeliruan akibat laporan polis yang dibuat terhadap penganjuran Fiesta Di Ambang Tahun Baru 2019 oleh Pejabat Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew.

Yang DiPertua Pas Tawau, Mohamad Hussein dalam siaran media hari ini menyatakan PAS Kawasan Tawau tidak menghalang mana-mana kaum, agama, sektor dan strata kaum menganjurkan apa-apa perayaan keagamaan, kebudayaan atau aktiviti sosial di mana-mana sahaja yang mematuhi undang-undang.

Beliau mendakwa laporan polis dibuat adalah sebagai “respons” Pas Tawau terhadap rungutan orang ramai tentang penganjuran program tersebut yang “mengandungi unsur-unsur dakwah Kristian kepada orang awam yang turut dihadiri oleh orang Islam.”

“Keadaan ini amat berbeza dengan penganjuran sebelumnya,” katanya.

Laporan polis yang dibuat oleh Pas Tawau telah mendapat pelbagai reaksi daripada pemimpin dan segenap rakyat Malaysia di Sabah.

 

(Dipetik daripada artikel Sabah News Today bertajuk, "PAS Tawau Mohon Maaf" yang ditulis oleh Chris Maskilone bertarikh 2 Januari 2018)