Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin |
PETALING JAYA: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin
hari ini membidas kumpulan yang membantah sambutan Krismas dan Tahun Baru
peringkat daerah di negeri itu, memberitahu mereka jangan bawa budaya tidak
bertoleransi ke Sabah.
Bercakap kepada FMT, Bung berkata walaupun majoriti penduduk
Tawau beragama Islam, meraikan Krismas, Tahun Baru dan perayaan lain “bukan
masalah”.
“Kami rakyat Sabah fleksibel. Kami rai semua. Jangan cuba
budaya tidak bertoleransi ke sini.
“Gunalah akal dan jangan emosi,” kata Ahli Parlimen
Kinabatangan itu.
“Sabah sangat terkenal sebagai masyarakat yang toleransi,
berbilang agama dan berbilang budaya.
“Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, juga sangat mengagumi
rakyat Sabah sebagai contoh masyarakat toleransi.”
Beliau berkata menentang sambutan Krismas dan Tahun Baru
menunjukkan betapa tidak toleransi dan sempit pemikiran beberapa orang Islam.
“Mereka bersikap tidak hormat, dan kalau motif mereka ialah
tunjuk perasaan tidak puas hati, mereka tiada tempat dalam masyarakat kita.
“Mungkin lebih baik mereka berpindah ke satu pulau di mana
mereka boleh amalkan kepercayaan dan ajaran yang tidak toleran.”
Beliau mengingatkan Islam adalah agama keamanan yang
menghormati semua orang, tanpa mengira kepercayaan mereka, dan menggesa rakyat
bersuara terhadap mereka yang fikir sebaliknya.
Dilaporkan satu kumpulan mendakwa mewakili pelbagai parti
politik, termasuk Warisan, Umno dan PAS, serta beberapa kumpulan Islam,
mengeluarkan satu kenyataan mengecam karnival Krismas di Tawau yang diadakan
pada 30 Disember tahun lepas.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Jangan Bawa Budaya Tak Toleransi Ke Sabah, Bung Bidas Bantahan Anti Krismas" yang ditulis oleh Robin Augustin bertarikh 2 Januari 2019)