Selasa, 9 Julai 2019

Melawat Menara Doa Di Nulu Sosopon, Keningau


Oleh Si Domba Putih:

Beberapa bulan lepas, saya sempat melawat ke Keningau, Sabah. Sewaktu di sana, kawan saya telah membawa saya ke Menara Salib Suci di Nulu Sosopon, Keningau.


Menara doa setinggi lima tingkat (dengan ketinggian 70 kaki) itu telah didirikan di atas Nulu Sosopon (atau Bukit Sosopon). Ianya adalah sebahagian daripada Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon yang telah siap dibina beberapa tahun yang lalu. Menara Salib Suci itu telah dirasmikan oleh wakil rasmi Paus ke Malaysia, Bishop Besar Joseph Salvador pada 4 June 2016. Ianya adalah menara salib yang pertama di Sabah.


Sesampai di menara, saya dan kawan saya membuka kasut di tingkat bawah menara. Selepas itu kami menaiki tangga tingkat demi tingkat sehingga ke puncak menara doa itu. 

Di atas puncak menara itu, kami dapat melihat pemandangan bandar Keningau dan sekitarnya. Menurut kawan saya, menara doa itu terbuka kepada orang-orang Kristian dari mana-mana gereja untuk datang berdoa. 

Setelah menikmati pemandangan bandar Keningau untuk beberapa waktu, saya dan kawan pun mulai mengucap syukur dan berdoa untuk kesejahteraan bandar Keningau dan penduduknya.

Pemandangan bandar Keningau dan sekitarnya dari Menara Salib Suci

Dalam laman Herald Malaysia, Bishop Keningau, Cornelius Piong telah menjelaskan kesesuaian tapak di atas bukit itu untuk dijadikan pusat ziarah, "Ianya mempunyai pemandangan yang cantik, cuaca yang dingin dan suasana yang kondusif untuk membuat renungan." 

Bishop Piong berharap bahawa Pusat Ziarah Keluarga Kudus itu akan menjadi tempat di mana ramai orang akan datang dan mengalami hadirat Tuhan melalui doa dan renungan.

Saya juga berharap dapat mengunjungi Menara Salib Suci ini lagi bersama keluarga di waktu akan datang.

Menara Salib Suci Nulu Sosopon (foto oleh CEphoto, Uwe Aranas)