Selasa, 27 Ogos 2019

Majlis Gereja Gesa Kerajaan Bertindak Hentikan Usaha Menghasut Kebencian Terhadap Masyarakat Kristian


KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) telah menyelar sebuah kumpulan gabungan Melayu-Islam kerana mendakwa bahawa pemimpin-pemimpin Kristian tempatan mempunyai konspirasi untuk menguasai kedudukan kepimpinan dalam negara, sambil menggesa pihak berkuasa untuk bertindak ke atas kenyataan yang bersifat menghasut itu. 

Setiausaha agungnya, Reverend Hermen Shastri berkata pertubuhan itu "sungguh tidak senang" dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pengerusi Gerakan Pembela Ummah dan presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya yang telah merujuk khusus kepada Persekutuan Kristian Malaysia (CFM). 

"Dakwaan itu tidak berasas dan berniat untuk menyebarkan ketakutan dengan menghimpunkan orang-orang Islam dan menamakan orang-orang Kristian sebagai musuh," dia memberitahu Malay Mail.

"Ini hanya menunjukkan bahawa Ummah telah ketandusan idea dan oleh itu terpaksa menggunakan taktik sebegini untuk memecah-belahkan negara dan menyemarakkan ketakutan mengenai ketegangan dalam hubungan antara agama.

"Ini sama seperti menghasut kebencian terhadap masyarakat agama minoriti dan pihak berkuasa haruslah bertindak dengan tegas untuk menghentikan tindakan-tindakan ini yang cuba menggagalkan  perhubungan antara agama yang baik di negara ini."



Dalam ucapan pembukaannya semasa Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional pada hari Ahad, Aminuddin telah mendakwa bahawa salah satu resolusi CFM adalah untuk menempatkan sebanyak Kristian yang mungkin dalam kedudukan kepimpinan nasional, sebagai sebahagian daripada usaha evangelikal.

Dia juga telah menamakan penginjilan Kristian sebagai salah satu ancaman terbesar kepada masyarakat majoriti Melayu-Islam bersama dengan liberalisme dan hak-hak kemanusian, dan mendakwa bahawa penginjil-penginjil Kristian sebagai semakin berani dalam menyebarkan kepercayaan mereka kepada  orang-orang Islam.

CFM tidak memberi respon kepada permintaan Malay Mail untuk memberikan ulasan.

Perkara ini timbul sambil Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan kebimbangan akan ketegangan yang semakin meningkat oleh kerana isu-isu berkaitan bangsa, agama dan raja.

Menteri Dalam Negeri itu berkata dia telah mengarahan polis untuk menangani isu-isu sensitif yang dibangkitkan oleh sesiapapun termasuk tokoh-tokoh agama.

Kumpulan-kumpulan konservatif Melayu-Islam, seperti Isma, telah juga secara konsisten bersuara menentang "Kristianisasi" yang didakwa satu ancaman kepada masyarakat Melayu-Islam dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Malay Mail bertajuk, "Churches Want Action After Malay Muslim Coalition Accuses Christians Of Infiltrating Putrajaya" yang ditulis Jerry Choong bertarikh 27 Ogos 2019)