Khamis, 18 Jun 2020

Uggah: Rumah Ibadat Bukan Islam Dibuka Dengan Garis Panduan Ketat


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merupakan Menteri bertanggungjawab ke atas Unit Hal Ehwal Agama- Agama Lain (UNIFOR) memberitahu, satu garis panduan umum telah dikeluarkan bagi pembukaan semula Rumah-Rumah Ibadat Bukan Islam yang akan berkuatkuasa mulai 20 Jun 2020.

“Pembukaan semula semua rumah-rumah ibadat tertakluk kepada rumah ibadat yang diwartakan di bawah Missionary Societies Ordinance 1967 (Sarawak Cap.106) atau di bawah Charitable Trust Ordinance 1994 dan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

“Antara intipati garis panduan yang telah dikeluarkan merangkumi syarat pematuhan dan pengawalan ketat jumlah penganut dalam satu-satu upacara ibadat mengikut saiz rumah ibadat masing masing dengan TIDAK MELEBIHI 100 ORANG setelah mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter,” kata Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan, Selasa.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas,
Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Katanya lagi, bagi mereka yang mempunyai gejala demam, batuk atau sesak nafas serta kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan untuk menghadiri upacara ibadat dan bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, warga emas khususnya dinasihatkan untuk berjaga-jaga sepenuhnya sekira masih ingin hadir.

Selain daripada itu, proses nyah cemar sebelum dan selepas upacara ibadat, pengambilan suhu, pengunaan penutup hidung dan mulut, pejarakan sosial, pencuci tangan hand sanitiser, pengimbasan kod QR atau mengisi buku kehadiran atau menggunaan aplikasi Mysejahtera/CovidTrace adalah wajib untuk dipatuhi.

“Pihak pengurusan rumah ibadat juga diseru untuk menyesuaikan garis panduan umum dari JPBNS dengan keadaan serta keperluan Agama dan rumah ibadat masing-masing dan mengeluarkan garis panduan tersendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, pembukaan semula rumah ibadat perlu dibuat melalui Ibu Pejabat Rumah-rumah ibadat masing-masing kepada UNIFOR dengan menggunakan Borang PP.01/2020 manakala bagi yang tidak mempunyai ibu pejabat boleh terus menghantar boring tersebut kepada UNIFOR.

Borang tersebut boleh dimuat turun di laman sesawang UNIFOR di http://www.jkm.sarawak.gov.my dan juga boleh didapati di Ibu Pejabat rumah ibadat masing-masing serta Pejabat Residen dan daerah.

(Diambil daripada artikel TV Sarawak bertajuk, "Uggah: Rumah Ibadat Bukan Islam Dibuka Dengan Garis Panduan Ketat" bertarih 16 Jun 2020)