Rabu, 7 Mei 2014

Kebebasan Akademik Tidak Patut Promosi Kebencian, Kata Badan Kristian

Eu Hong Seng, pengerusi Christian Federation of
Malaysia (Persekutuan Kristian Malaysia)
Oleh Jennifer Gomez:

Kedua-dua badan utama Kristian negara ini telah mempersoalkan mengenai kebijaksanaan  menggunakan sebuah institusi pengajian tinggi untuk menyebarkan ketaksuban dan berat sebelah terhadap agama Kristian di seminar yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang tidak dihadiri pakar agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) berkata, sementara ia menyokong hak UiTM menganjurkan syarahan umum bagi sebarang topik, ia memberi ingatan bahawa kebebasan akademik tidak boleh digunakan untuk mempromosikan kenyataan tidak benar tanpa peluang menjawabnya.

Pengerusi CFM Rev Dr Eu Hong Seng (gambar) berkata jika ini berlaku, ia satu penyalahgunaan amanah dan pengawasan.

"Jika mereka menerima kebebasan akademik yang ikhlas dan tulen, maka marilah kita bertukar pandangan secara intelektual dan integrity. Bukannya pandangan sebelah pihak dengan maklumat yang tidak tepat, dikatakan sebagai fakta.

"Jika tidak, seminar semalam akan menjadi tidak lebih daripada ucapan kebencian dan propaganda agama yang menyamar di sebalik kebebasan akademik," kata Rev Eu.

Beliau menambah, ia seterusnya akan mengurangkan integriti akademik, menyebabkan kerugian lebih besar kepada kejujuran intelek dan mencemar nama baik serta reputasi institusi awam.

Kebimbangan CFM adalah ekoran satu seminar di UiTM semalam mengenai penggunaan perkataan Allah dan Kristologi, di mana penceramah memberi amaran kepada umat Islam tentang ancaman Kristianisasi serta mempersendakan Bible  sebagai mengandungi “cerita”.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM)  Rev Hermen Shastri turut berkongsi kebimbangan Rev Eu itu dan menambah bahawa hakikat UiTM membenarkan seminar  sebegitu di premisnya menunjukkan pihak berkuasa akademik sanggup bertolak-ansur dan juga mempromosikan jenama tertentu pengajaran agama bagi agenda tertentu.

"Ia adalah jelas bahawa penceramah mahu menggalakkan pandangan agama taksub dan menimbulkan keraguan kepada agama lain," katanya.

Rev Hermen berkata, bagi pemahaman antara agama yang aman dan kewujudan suasana harmoni di Malaysia, nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama semua agama perlu diajar dan dipupuk di kalangan pelajar.

"Hakikat negara kita mencapai kedudukan sangat rendah  dalam hubungan antara agama tidak menghairankan ekoran kejadian hampir setiap minggu yang mendapat tempat di sini," katanya.

Tambah beliau, malangnya kerajaan secara konsisten lesu dalam menangani wacana antara agama yang memihak kepada pelampau dan ketaksuban.

Rev Hermen juga berkata,  ia tidak membantu apabila akhbar yang memilih untuk memberi keutamaan kepada pandangan tertentu daripada orang agama yang "kontroversi" dan tidak mempunyai sokongan arus perdana.

Pada seminar itu, salinan buku yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengenai ancaman Kristianisasi dan didakwa penyebaran Kristian di kalangan umat Islam di Malaysia diagihkan kepada lebih 1,000 pelajar yang hadir.

Buku bertajuk “Pendedahan Agenda Kristian”, mengandungi amaran kepada umat Islam agar berhati-hati terhadap  helah orang Kristian yang mahu mempengaruhi umat Islam daripada kepercayaan mereka.

Buku ini juga mendakwa sebab utama terdapat murtad di kalangan umat Islam adalah kerana Kristianisasi.

Buku lain, “Kewajipan memelihara kesucian nama Allah” menerangkan mengapa orang bukan Islam, khususnya orang-orang Kristian, tidak boleh dibenarkan untuk menggunakan perkataan Allah.

Ini menjelaskan tentang perebutan ke atas perkataan Arab  - yang bermaksud Tuhan – antara gereja Katolik dan kerajaan persekutuan. – 7 Mei, 2014.


(Diambil daripada artikel Malaysian Insider bertajuk "Kebebasan Akademik Tidak Patut Promosi Kebencian, Kata Badan Kristian" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 7 Mei 2014)