Jumaat, 17 Oktober 2014

Konsep Kalimah Allah Eksklusif Untuk Islam Satu Kekeliruan, Kata Sarjana Indonesia

Dr Ulil Abshar Abdalla, sarjana Islam dari Indonesia bercakap kepada
hadirin forum di Kuala Lumpur menerusi Skype (Foto Malaysian Insider)

Dr Ulil Abshar Abdalla yang dihalang masuk ke Malaysia baru-baru ini menyifatkan umat Islam yang mendakwa kalimah Allah hanya eksklusif untuk mereka saja berada dalam kekeliruan kerana ia sudah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam.

Sarjana Islam dari Indonesia itu berkata, kalimah Allah tidak boleh dimonopoli umat Islam saja kerana ia merupakan perkataan umum yang merujuk kepada Tuhan.

“Istilah Allah itu berasal daripada dua kata iaitu partikel 'Al' dan 'Ilah' yang bermakna Tuhan.

"Jika kita menyebut Allah itu, ia diterjemah sebagai Tuhan. Orang kafir di Mekah sebelum kedatangan Islam juga menyebut Allah," katanya dalam satu wawancara telefon bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.

Dr. Ulil Abshar Abdalla
Ulil berkata, adalah tidak benar jika hanya orang Islam saja yang dibenarkan menggunakan kalimah Allah kerana pengunaan kalimah itu sudah digunakan sejak zaman Arab Jahiliah.

"Kalau orang Islam sekarang merasa kalimah Allah itu milik mereka saja, itu bagi saya tidak benar.

“Orang jahiliah sebelum Islam juga memakai kata Allah. Pandangan yang mengatakan Allah milik orang Islam itu keliru," katanya.

Pandangan Ulil berkenaan kontroversi kalimah Allah sama seperti pandangan sarjana dan ulama Islam, baik di negara ini mahupun di seluruh dunia, yang mengkritik larangan penggunaan kalimah itu di kalangan bukan Islam di sini.

Malah, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai kebebasan beragama dan kepercayaan Heiner Bielefeldt berkata ramai orang Islam percaya keputusan mahkamah itu menjatuhkan kewibawaan Islam, merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang perkataan 'Allah' tidak boleh digunakan di dalam penerbitan Katolik, Herald, atas alasan ia bukan sebahagian daripada agama Kristian.

Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) awal bulan ini berjaya dalam permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk semua penerbitan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Datuk Rohana Yusof berkata, Mahkamah Persekutuan berpendapat hujah penghakiman pada 14 September mengatakan "Allah bukan sebahagian agama Kristian" merupakan satu kenyataan sampingan.

Antara kumpulan yang dengan lantang mengatakan perkataan 'Allah' ekslusif untuk orang Islam ialah kumpulan pendesak Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang disifatkan Ulil tidak jauh berbeza dengan kumpulan Front Pembela Islam (FPI) di Indonesia.

Tetapi, katanya, tidak seperti Isma dan Perkasa, kumpulan itu bersedia menerima kritikan.

“Untungnya di Indonesia ada satu sistem yang sedikit lebih terbuka hingga masyarakat boleh mengkritik dengan berleluasa.

“Indonesia dibukakan semua pintu untuk semua kelompok bisa ikut bicara," katanya kepada The Malaysian Insider.

Awal hari semalam, Ulil melanggar larangan Putrajaya dan bercakap kepada kira-kira 100 peserta Persidangan Antarabangsa ke-3 mengenai Hak Asasi Manusia dan Keamanan dan Konflik di Asia Tenggara melalui Skype.

Dia berbicara mengenai bahayanya melabelkan umat Islam daripada pelbagai aliran pemikiran sebagai 'kafir' atau 'murtad'.

Menurut menteri bertanggung jawab hal-ehwal agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ulil dihalang memasuki negara kerana ajarannya bercanggah Mazhab Shafie yang diikuti orang Islam di Malaysia.

Keputusan Putrajaya itu menerima kritikan umat Islam daripada ketua Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk, yang mengatakan ia adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan mereka.

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata kerajaan bersikap "fundamentalis" dan episod itu hanya menunjukkan bagaimana Malaysia kini negara yang mengamalkan ekstremis agama.

Walaupun Putrajaya menyenaraihitamkan Ulil, tiada tindakan akan diambil terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang mengugut membakar Bible dalam bahasa Melayu.

Pemimpin politik daripada kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang menggesa Ibrahim disabitkan mengikut Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata dalam jawapan bertulis parlimen Selasa lalu polis memutuskan tidak mengambil tindakan terhadap Ibrahim kerana beliau mempertahankan Islam.

Katanya, polis membuat kesimpulan kata-kata Ibrahim hanya ditujukan kepada satu kumpulan yang tertentu, dan ia bukan satu ancaman kepada masyarakat awam. – 17 Oktober, 2014.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Konsep Kalimah Allah Eksklusif Untuk Islam Satu Kekeliruan, Kata Sarjana Indonesia" penulisan Hasbullah Awang Chik bertarikh 17 Oktober 2014)