Ahad, 12 Ogos 2018

Keputusan Mahkamah Dalam Kes Bumiputera Kristian Berkenaan Kalimah "Allah" Ditangguhkan Untuk Membenarkan Rundingan


KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Mahkamah Tinggi hari ini telah menangguhkan keputusannya dalam kes pribumi Kristian Sarawak berkenaan hak berperlembagaannya dalam agama, dan larangan kerajaan atas penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan-penerbitan Kristian.

Peguam Annou Xavier, yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, mengesahkan bahawa esok tidak lagi ditetapkan untuk penyampaian keputusan kes pelanggannya.

"Keputusan esok telah diubah ke pengurusan kes. Ini adalah untuk membolehkan pihak-pihak terbabit untuk berunding agar dapat menyelesaikan perkara itu. 

"Kita kini mempunyai pentadbiran baru yang mesra rakyat dan rela untuk berunding dengan rakyat," dia memberitahu Malay Mail ketika dihubungi.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah pada mulanya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh menyampaikan keputusan tetapi telah menangguhkannya ke 13 Ogos.

Peguam senior persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan kerajaan dalam kes ini, telah pada bulan Mac memberitahu Malay Mail bahawa tarikhnya telah dipindah ke 13 Ogos kerana Pejabat Peguam Negara perlu mendapat "arahan baharu" daripada kerajaan.

Jill Ireland telah menfailkan kes samannya lebih kurang 10 tahun yang lalu selepas Kementrian Dalam Negeri merampas lapan compact disc (CD) yang mengandungi kalimah "Allah" yang adalah untuk kegunaan peribadinya di KLIA sewaktu dia kembali dari Indonesia.

Berikutan rampasan pada 11 Mei 2008 itu, Jill Ireland menfailkan untuk semakan perundangan pada Ogos tahun yang sama terhadap Menteri Dalam Negeri dan kerajaan.


Mahkamah Tinggi pada Julai 2014 membuat keputusan bahawa Kementrian Dalam Negeri telah salah bertindak merampas lapan CD itu dan memerintahkan agar kesemua CD itu dikembalikan, tetapi tidak memutuskan mengenai perkara-perkara berperlembagaan pada ketika itu.

Jill Ireland akhirnya menerima kembali lapan CD miliknya pada September 2015, berikutan arahan Mahkamah Rayuan pada Jun 2015 agar Kementrian Dalam Negeri mengembalikan kesemua CD tersebut. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan juga merujukkan kembali perkara-perkara berperlembagaan untuk didengarkan di Mahkamah Tinggi.

Isu-isu berperlembagaan dalam kes Jill Ireland telah didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin pada 19 Oktober dan 15 November tahun lepas.

Jill Ireland telah memohon untuk beberapa perintah mahkamah, termasuk pengisytiharan bahawa adalah merupakan hak berperlembagaannya untuk mendapatkan penerbitan-penerbitan Kristian dalam melaksanakan haknya mengamalkan agama, dan hak untuk mendapatkan pendidikan, seperti yang termaktub dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan berkenaan kebebasan beragama.

Pribumi Sarawak berbangsa Melanau itu juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Artikel 8 menjamin kesetaraannya di bawah undang-undang dan perlindungan dari diskriminasi berdasarkan agama dalam pentabiran undang-undang - khususnya berkenaan Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984 dan Akta Kastam 1967.

Jill Ireland juga meminta mahkamah untuk mengisytiharkan surat pekeliling Kementrian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986 untuk melarang penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan-penerbitan Kristian sebagai bercanggah dengan perlembagaan dan tidak mengikuti undang-undang, dengan berhujah antaranya bahawa kerajaan telah gagal membuktikan bahawa penggunaan seperti itu telah menjadi ancaman kepada keselamatan awam.

Kerajaan telah menggunakan surat pekeliling 1986 sebagai justifikasi rampasan lapan CD Jill Ireland pada 2008.


(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail bertajuk, "Court Decision In Bumiputera Christian's 'Allah' Case Deferred To Allow Engagement" yang ditulis oleh Ida Lim bertarikh 12 Ogos 2018)