Rabu, 7 November 2018

Bible Turut Diedar Kepada Pelajar Melayu - Mujahid

Dr. Mujahid Yusof Rawa (foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah)


PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan kitab Bible yang diedarkan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini turut diagihkan kepada pelajar Melayu.

Mujahid berkata, selepas kegiatan berkenaan tersebar dan menjadi viral, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk kesahihan.

“Saya akui kegiatan mengedar kitab Bible oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlaku dan sekarang timbul persoalan kitab berkenaan diedarkan kepada siapa, adakah untuk orang Melayu atau hanya diedarkan kepada orang bukan Islam.

“Perkara berkenaan jelas menimbulkan kontroversi sebab daripada maklumat yang kita dapat ada juga yang diberikan kepada orang Melayu,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta program Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di sini hari ini yang bertanyakan isu edaran kitab Bible berkenaan.

Semalam, Mujahid pada sidang medianya di Pulau Pinang mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, seperti yang viral di media sosial baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut berhubung isu berkenaan, beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan difahamkan polis akan mengambil keterangan pelajar dan pengetua sekolah terbabit hari ini.

“Saya difahamkan bila mereka (pelajar) keluar sekolah itu ada Islam dan bukan Islam, kadang-kadang dia (pengedar kitab Bible) tersalah bagi ingat bukan Islam, benda itu yang saya katakan pada awal lagi bukan tindakan bijak untuk berbuat demikian,” katanya.

(Diambil daripada artikel Berita Harian bertajuk, "Bible Turut Diedar Kepada Pelajar Melayu - Mujahid" yang ditulis oleh Irwan Shafrizan Ismail bertarikh 7 November 2018)