Rabu, 7 November 2018

Edar Bible Di Hadapan Sekolah Bukan Jenayah - MAINPP



PULAU PINANG 7 Nov. - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak bercadang membuat laporan polis berhubung tindakan beberapa individu yang didakwa mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam di sini yang tular baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, ini kerana perbuatan berkenaan bukan kesalahan jenayah selain MAINPP sendiri tidak pasti sama ada kejadian berkenaan baharu berlaku atau kes lama yang menjadi tular semula walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengesahkannya semalam.

“Itu kamu kena tanya beliau (Dr. Mujahid) apabila beliau kata kes baharu tetapi bagi MAINPP tidak perlu lapor polis, kita akan siasat kalau berlaku, ada caranya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mujahid mengesahkan kejadian berkenaan sambil menjelaskan ia dilakukan beberapa individu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menurutnya, kumpulan berkenaan perlu menghentikan perbuatan itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan iaitu agama lain tidak boleh didakwahkan kepada umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, MAINPP ada kaedah sendiri untuk menyiasat kes itu jika ia berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid ketika dihubungi menjelaskan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

(Diambil daripada artikel Utusan Online bertajuk, "Edar Bible Depan Sekolah Bukan Jenayah - MAINPP" yang ditulis oleh Mohd Firdaus Ismail bertarikh 7 November 2018)