Sabtu, 10 November 2018

Polis Tahan 5 Warga Nigeria Edar Buku Keagamaan Di Pulau Pinang

Warga Nigeria terbabit cuba menyebarkan fahaman agama Kristian (Gambar Facebook Penang Kini)

GEORGE TOWN: Tiga wanita dan 2 lelaki Nigeria ditahan kerana cuba mengedar buku keagamaan di tepi jalan Lebuh Carnavon, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata mereka yang berumur 25 hingga 30 tahun itu ditahan ketika sedang mengedar buku bertajuk “Rhapsody Of Realities” di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang.

“Kami menerima maklumat berhubung sekumpulan warga asing mengedarkan risalah dan majalah yang dipercayai cuba menyebarkan fahaman agama Kristian di beberapa lokasi di sekitar George Town dan Lebuh Carnavon.

“Sebelum ini, kami turut menerima satu laporan di Balai Polis Central berhubung kegiatan yang sama dan siasatan awal mendapati 5 individu itu turut terlibat. Polis juga merampas buku keagamaan yang diedar mereka,” katanya hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, mereka bersama 7 lagi individu datang ke Pulau Pinang pada Selasa dengan menaiki kenderaan sendiri dan polis sedang mengesan rakan-rakan mereka bagi membantu siasatan.

Che Zaimani berkata 5 individu warga Nigeria itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung pengedaran buku keagamaan itu.

(Dipetik daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Polis Tahan 5 Warga Nigeria Edar Buku Keagamaan Di P Pinang" bertarikh 8 November 2018)