Selasa, 1 Januari 2019

Warisan Kecam Memo Bantahan Sambutan Krismas Dan Tahun Baru Tawau

Ketua Bahagian Warisan Tawau Frank Salazar (kanan) dan Ketua Bahagian Warisan Kalabakan
Haji Ismail Senang menunjukkan salinan laporan polis (Foto SNT/Ehsan Parti Warisan)

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah mengecam sekeras-kerasnya memorandum bantahan terhadap penganjuran sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru di Tawau yang dikeluarkan oleh PAS untuk memusnahkan keharmonian yang dinikmati rakyat Sabah.

Kedua Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah Kalabakan dan Tawau turut menafikan terlibat dalam bantahan itu yang dianggap berniat jahat dan bertujuan untuk memporak perandakan rakyat Sabah.
Frank Salazar, Ketua Bahagian Warisan Tawau, berkata:

“Tindakan mereka melanggari semangat keharmonian dan perpaduan yang sentiasa ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.”

“Mereka langsung tidak menghormati rakyat Sabah yang cintakan keharmonian hidup tanpa mengira bangsa dan agama. Kita di Sabah memang terkenal dengan amalan hidup bersama dalam masyarakat yang pelbagai agama dan bangsa. Jadi kenapa harus mereka menimbulkan perasaan syak wasangka?

“Saya sendiri seorang mualaf dan dalam keluarga saya ada pelbagai penganut agama lain. Tetapi kami dapat hidup bersama dengan baik dan saling sayang menyayang. Saya yakin ramai keluarga di Sabah pun begitu.

“Sebenarnya menyambut perayaan agama lain tidak menjadi isu di Sabah. Tetapi kehadiran PAS di sini menjadikannya satu isu pula semata-mata untuk merosakkan keharmonian dan memecah-belahkan orang Sabah. Apa tujuan mereka?” ujar Frank.

Pagi tadi, Frank dan Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Haji Ismail Senang membuat laporan polis di ibu pejabat polis Tawau untuk menafikan Parti Warisan Sabah terlibat dalam bantahan tersebut.

(Diambil daripada artikel Sabah News Today bertajuk, "Warisan Kecam Memo Bantahan Sambutan Krismas Dan Tahun Baru Tawau" bertarikh 1 Januari 2019)