SUSULAN bantahan terhadap perhimpunan Jerusalem’s Jubilee
yang dirancang diadakan di Melaka minggu depan, Calvary Life Assembly Chinese
Church (CLAC) mengatakan yang mereka memikirkan untuk membatalkan perhimpunan
itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, penganjur All
Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) mengatakan acara itu adalah
upacara sembahyang menghimpunkan penganut Kristian dari Malaysia dan Asia
Pasifik, dan menafikan dakwaan PAS yang ia bertujuan mempromosi “Kristianiti
Zionis” dan “Budaya Yahudi”.
“AMGGRC ialah perhimpunan sembahyang di mana gereja di
Malaysia dan rantau ini berniat untuk berdoa untuk Malaysia, Asean dan Asia
Pasifik selain untuk memahami hubungan spiritual dan makna Jerusalem menurut
kitab suci Kristian, Bible,” kata kenyataan itu.
“AMGGRC tidak berniat untuk menimbulkan provokasi dan
mencabar sensitiviti orang Melayu dan Islam di Malaysia.
“Ia tidak pernah membawa sebarang maksud, kesan atau apa
sahaja maksud politik berkaitan pada masa sekarang mahupun masa depan.
“Sangat dikesali kerana apa yang bermula dengan niat baik
untuk berdoa demi keamanan dan kesejahteraan Malaysia menimbulkan banyak
kekeliruan dan salah faham dalam kumpulan tertentu.”
Walaupun kenyataan itu menyebut yang acara itu “tidak lagi
akan diadakan” di Calvary Life Assembly Chinese Church, ia tidak menyebut
samada perhimpunan “Jerusalem Jubilee” itu akan dibatalkan.
Peguam CLAC Yap Koon Roy berkata yang gereja itu tidak
menganjurkan acara itu tetapi hanya menjadi tuan rumah acara yang dijadualkan
di Melaka itu.
“Kami masih lagi berbincang dengan pemimpin gereja, tetapi
ia menuju ke arah pembatalan.
“Ia bukan acara besar kerana dewan gereja hanya boleh
menempatkan lebih kurang 100 orang. Acara itu sepatutnya menjadi acara
sembahyang untuk perpaduan negara,” kata Yap kepada The Malaysian Insight dalam
perbualan telefon petang tadi.
Katanya lagi Calvary Life di Melaka sudah disoalsiasat
polis.
“Apabila kami menerangkan polis tentang keadaan sebenar,
mereka juga pening memikirkan bagaimana hendak menangani perkara ini,” katanya.
Dia menambah yang Calvary Life tidak pernah menganjurkan
acara seperti itu sebelum ini.
Sementara itu, Pengerusi National Evangelical Christian
Fellowship of Malaysia (NECF) Rev Dr Eu Hong berkata yang PAS tidak sepatutnya meminta kerajaan
mengharamkan acara itu sebelum memahami perkara sebenar.
“Saya fikir mereka tidak sepatutnya campur adukkan politik
dengan agama. Samada bersetuju atau tidak dengan acara itu, mereka sepatutnya
tidak jadikan ia masalah besar.
“PAS sepatutnya meminta penjelasan penganjur sekiranya
mereka tidak pasti acara itu tentang apa.”
EU berkata yang sangat ketara PAS mahu membuktikan sesuatu
kepada penduduk dalam kawasan mereka, dengan menyentuh isu seperti ini.
“Saya tidak tahu tentang acara itu jadi saya tak boleh beri
komen samada ia berkaitan Zionisme.
Menyentuh mengenai acara itu yang diadakan di bulan Ramadan,
Eu berkata ia satu kebetulan.
“Terlalu banyak acara yang diadakan di bulan Ramadan, jadi
ia bukan isu.”
Sebelum ini, PAS dan Perkasa mempersoalkan tujuan
perhimpunan itu dan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat acara itu.
Kumpulan itu tersinggung apabila mereka menjumpai poster
promosi acara itu yang memaparkan ”menorah” emas gergasi tertulis “All
Malaysian-Golden Gate Revival Convocation” dengan warna emas. – 5 Jun, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Jerusalem Jubilee Tidak Lagi Diadakan Di Gereja Melaka Selepas Bantahan" yang ditulis oleh Low Han Shaun bertarikh 5 Jun 2017)