Jumaat, 10 Oktober 2014

10 Cara Anda Boleh Berlaku Tidak Setia Kepada Suami Atau Isteri - Dan Tidak Menyedarinya



Perhubungan sulit jauh sekali dari fikiran. Pasti tak akan berlaku. Anda mengasihi suami atau isteri anda dan anda tidak akan pernah berlaku tidak setia kepadanya. Bagaimanapun anda mungkin tidak menyedari cara-cara lain yang anda sedang bertindak tidak setia terhadapnya. Jika perbuatan-perbuatan itu berterusan, anda akan mendapati diri di cerun yang licin yang menjurus ke hubungan sulit yang tidak dirancang.dan kesengsaraan yang anda tidak pernah inginkan dalam hidup anda. 

Berlaku curang itu  biasanya merayap masuk melalui pintu belakang, menyamar sebagai keseronokan yang tidak berbahaya atau tindakan yang tidak berniat jahat. Jika anda ingin perkahwinan anda bertahan dan dipenuhi kebahagiaan, anda mungkin perlu menyemak senarai ini untuk melihat samada anda telah terjerat ke dalam mana-mana perlakuan yang tidak setia ini.  

1. Bermain cinta (Flirting)

Cuma sedikit gurau senda dan main-main di pejabat dengan seorang rakan sekerja taklah begitu buruk, anda mungkin berfikir. Main-main cinta itukan seronok. Elakkannya seperti musibah. Ianya berbahaya. Jika ada orang yang cuba main cinta dengan anda, jangan melayannya. Apa yang termasuk dalam kategori main cinta?

Berikut satu penjelasan mengenai apa itu main cinta. "Ianya biasanya melibatkan kata-kata dan perbuatan dalam bentuk yang menunjukkan sejumlah keintiman yang melebihi daripada yang sepatutnya wujud dalam perhubungan sebenar antara dua pihak itu, walaupun masih dalam lingkungan kesopanan sosial, yang umumnya menolak pernyataan tarikan seks yang terang-terangan. Ini mungkin boleh dilakukan melalui usikan gurau senda atau sindiran. Isyarat tubuh boleh melibatkan mengibas rambut, renungan mata, sentuhan ringan dan sebagainya."

Pasangan yang sudah bernikah tidak harus terlibat dalam perlakuan yang seperti ini dengan orang yang bukan suami atau isterinya. Ianya adalah ragam ketidaksetiaan yang membawa kepada hal yang tidak baik. Orang yang anda bermain cinta dengan mungkin melihatnya sebagai satu pelawaan dan mengejar perhubungan dengan anda yang tidak anda rencanakan.

2. Mencurah isi hati kepada orang yang tidak sejantina

Apabila anda mencurahkan masalah anda kepada seseorang yang berlainan jantina, anda meletakkan diri anda dalam keadaan yang terdedah kepada bahaya. Ianya mungkin kelihatan tidak berbahaya. Anda hanya perlukan dukungan untuk tangisan anda. Jika anda mempunyai masalah, berbincang mengenainya dengan suami atau isteri anda. Itulah dukungan terbaik untuk tangisan anda. Jika itu tidak dapat dilakukan, carilah saudara-mara, pastor atau kaunselor yang boleh dipercayai. Bukan seseorang yang mungkin menganggapnya sebagai undangan untuk keintiman. Walaupun ianya tidak bermula seperti itu, ianya terlalu kerap berakhir begitu. Ini sejenis ketidaksetiaan.

3. Meluangkan masa bersendirian dengan orang lain

Apa yang kelihatan perkara yang tidak berniat buruk seperti makan tengahari dengan seseorang yang tidak sejantina atau singgah sebentar untuk berbual-bual di rumah orang lain tanpa suami atau isteri anda adalah pasti sekali tergolong dalam kategori ketidaksetiaan. Anda atau orang lain itu mungkin berkata "Hai, kami berdua pun dewasa. Tak ada apa yang akan berlaku." Sebenarnya, seringkali sesuatu terjadi. Itu tidak sepatutnya. Pulanglah ke rumah dan luangkan masa itu bersama pasangan anda.

4. Mengatakan hal negatif mengenai pasangan anda

Apabila anda sahabat sejati kepada seseorang, anda tidak akan mengatakan perkara buruk mengenai mereka kepada orang lain. Pasangan anda adalah kawan terbaik anda dan anda tidak harus mengatakan perkara negatif mengenainya. Jika anda tidak berpuas hati dengannya, anda harus berbincang dengannya. Biarlah perbualan anda dengan orang lain menitikberatkan kebaikan pasangan anda. Itulah kesetiaan. Kecualilah jika berlaku penderaan. Jika penderaan terjadi, anda perlu melaporkannya kepada kawan yang boleh dipercayai, kaunselor dan polis. Anda perlu menjaga keselamatan diri anda.

5. Chatting di internet dengan orang lain yang tidak sama jantina

Jika anda fikir ini tidak berbahaya, anda perlu menimbangkannya semula. Ianya mungkin bermula seperti itu, tetapi pastinya tidak akan berakhir begitu. Ada orang yang terlibat dalam perbualan di internet dengan seorang bekas teman lelaki atau teman wanita dari sekolah menengah atau kolej, ataupun seorang yang tidak dikenali. Satu hal akan membawa kepada hal lain, dan sebelum anda sedari, perkahwinan anda sudah dalam keadaan bahaya. Jangan melakukannya. Ianya hanya akan berakhir dengan kesengsaraan dan patah hati untuk keluarga anda.

6. Cara berpakaian untuk menarik perhatian seseorang selain dari pasangan anda

Jika anda berpakaian supaya kelihatan cantik untuk orang lain. anda perlu memeriksa semula niat anda. Usaha menarik perhatian orang lain dengan mengenakan pakaian seksi adalah satu lagi bentuk ketidaksetiaan.

7. Menulis nota atau surat peribadi yang intim kepada orang lain.

Jika anda menulis sepucuk surat takziah atau tahniah, atau ucapan lain, biarlah datang dari kedua anda dan pasangan anda. Dengan itu tidak ada salah faham mengenai maksud dan niat anda.

8. Tidak menjadi pasangan asmara yang rela kepada pasangan anda

Berlaku setia kepada suami atau isteri anda bererti memberikan diri anda kepadanya untuk menikmati keintiman perkahwinan. Untuk menarik balik keintiman seks dari pasangan anda tidak menolong untuk mengekalkan perkahwinan yang kuat dan yang memberi kepuasan. Ianya menyebabkan kesugulan dan juga syak wasangka. Menjadi suami atau isteri yang setia bererti melakukan bahagian anda untuk menjadikannya perhubungan yang indah dalam semua aspek.

9. Meletakkan ibubapa lebih utama daripada pasangan anda

Suami atau isteri anda harus menjadi peribadi yang terutama dalam hidup anda. Jika sesuatu yang baik terjadi pada anda, seperti kenaikan pangkat, pengesahan kehamilan, atau apapun berita baik, anda mungkin teringin untuk terus menelefon ayah atau ibu anda untuk memberitahu kegembiraan anda. Tahan diri anda. Biarlah suami atau isteri anda menjadi orang pertama mengetahui berita baik anda. Lepas itu kongsikanlah dengan orang-orang lain.

10. Meletakkan anak-anak lebih utama daripada pasangan anda

Anak-anak penting. Mereka adalah orang-orang yang penting dalam hidup anda, tetapi tidak lebih penting daripada suami atau isteri anda. Jika anda menurunkan suami atau isteri anda dari puncak senarai keutamaan anda, anda tidak menunjukkan kesetiaan penuh kepadanya. Pasangan anda mestilah didahulukan. Bukan saja ianya akan menguatkan perkahwinan anda, ianya juga akan memberikan anak-anak rasa paling aman dan selamat.

Periksalah diri anda dalam sepuluh perkara ini dan pastikan anda 100 peratus setia kepada suami atau isteri anda. Dengan ini anda akan menciptakan penikahan yang benar-benar bahagia dan memberi kepuasan.

(Diterjemah daripada artikel Family Share yang bertajuk "10 Ways You Are Being Unfaithful To Your Spouse - And You Don't Even Know It" penulisan Gary dan Joy Lundberg)