Ahad, 5 Oktober 2014

Bagi Bumiputera Kristian, Larangan Kalimah Allah Umpama Musnahkan Budaya Mereka, Kata Biskop Besar

Biskop Besar Datuk Bolly Lapok

Tindakan Putrajaya yang berterusan untuk menafikan hak rakyat Malaysia bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah sama seperti pemusnahan secara sistematik bahasa dan budaya masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak, begitu kata ketua Gereja Anglikan di Asia Tenggara. 

Biskop Besar Datuk Bolly Lapok berkata perkataan "Allah" telah menjadi bahagian yang asasi dan tidak dapat dipisahkan dalam bahasa masyarakat itu untuk bergenerasi dan telah disemadikan dalam semua aspek kebudayaan mereka, termasuklah untuk orang-orang Kristian Bumiputera, yang merangkumi majoriti populasi Kristian Malaysia. 

Bagaimanapun, larangan kerajaan dan penolakan Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan Gereja Katolik untuk menerbit kata "Allah" dalam akhbar mingguannya, telah menyebabkan orang Kristian Bumiputera merasa mereka telah diperlakukan dengan tidak adil, kata pemimpin agama senior Sarawak itu. 

"Dalam kata-kata lain, ianya adalah DNA bahasa dan budaya kami. Kami merasa bahawa penghakiman telah dilakukan tanpa menimbangkan dengan sewajarnya betapa berertinya kalimah itu kepada kami.

"Kami merasa bahawa ketidakadilan telah berlaku. Ianya sesuatu yang terselindung dan berbahaya. Ianya sama seperti tindakan genosid (penghapusan bangsa) ke atas bahasa dan budaya," kata Bolly yang juga mempengerusikan Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak.

Bumiputera Kristian Malaysia sudah biasa beribadah dalam bahasa ibunda mereka dan bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia. Alkitab, nas-nas Ayat Suci, dan lagu-lagu ibadah telah diterjemahkan dalam bahasa-bahasa ibunda masing-masing, banyak daripadanya yang mengandungi perkataan "Allah" yang menjadi kontroversi sebagai rujukan kepada Tuhan. 

Dalam keputusan yang penting pada 23 Jun, panel tujuh hakim di mahkamah tertinggi itu telah membuat keputusan majoriti untuk menolak percubaan Gereja Katolik untuk mengubah keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas yang menyatakan bahawa kalimah yang berasal dari Arab itu bukan bahagian asasi (integral) dalam amalan keagamaan umat Kristian Malaysia. 

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun, telah menyatakan bahawa ulasan "asasi" (integral) dalam Mahkamah Rayuan tidak mengikat kepada kes-kes lain sebab ianya hanya komen yang menyatakan pendapat peribadi. 

Dalam khutbahnya yang tegas di St, Mary's Cathedral semalam, biskop besar itu menyatakan gereja-gereja Malaysia kini menghadapi "sekatan-sekatan yang berat" dalam melaksanakan ibadah keagamaan - meskipun terdapat jaminan kebebasan oleh Perlembagaan Persekutuan negara. 

Dia berkata walaupun ianya mungkin "kelihatan menarik" untuk menerima keputusan Mahkamah Persekutuan semata-mata untuk keamanan, keputusan mahkamah itu gagal mencerminkan kepentingan kalimah itu untuk rakyat Malaysia Timur.  

"Tetapi untuk orang-orang pribumi Sabah dan Sarawak, kesan keputusan mahkamah itu sangat besar sekali. Bagi mereka, isu yang menjadi persoalan lebih daripada hanya sensitiviti keagamaan," kata Bolly. 

Dia berkata keadaan sekarang menjadi lebih "tragik" kerana ramai daripada masyarakat Bumiputera Kristian yang "naif" (kurang pengetahuan) dan tidak "mengetahui hak-hak mereka sendiri", dan menambah bahawa itu menyebabkan mereka "tidak menyedari langsung akan punca dan proses yang menjadikan mereka miskin dan menjadi mangsa kepada kekuasaan politik semasa".

Bolly telah menyebut larangan kalimah Allah sebagai satu contoh cabaran-cabaran yang Charles Kumar Samuel - yang pada semalam telah ditetapkan sebagai pembantu biskop Anglikan Diosis Malaysia Barat yang baru - akan hadapi sewaktu negara mengalami pertambahan "polarisasi kaum dan agama yang tidak rasional".

Biskop Besar itu juga menambah bahawa gereja-gereja adalah "tidak bertanggungjawab" jika mereka berdiam diri dalam keadaan ketidakadilan terjadi pada Bumiputera Kristian, yang kebanyakannya datang dari Sabah dan Sarawak tetapi juga termasuk Orang Asli di Semenanjung. 

"Mereka tidak memahami mengapa orang-orang tertentu tersinggung dan menimbulkan keriuhan, padahal apa yang mereka lakukan hanya menjalani kehidupan dan melakukan ibadah seperti mana mereka telah lakukan selama bergenerasi," kata Bolly, dan bersumpah untuk terus "menggunakan kalimah itu sampai dunia berakhir".

Meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah dibuat, pertikaian mengenai kalimah Allah masih jauh dari selesai sementara gereja-gereja Malaysia mengambil langkah untuk mempertahankan hak-hak berperlembagaan mereka. 

Gereja Katolik baru-baru ini memohon untuk penilaian semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada bulan Jun manakala sebuah gereja injil, Sidang Injil Borneo (SIB) berjaya melepasi halangan pertama untuk persoalan kalimah Allah disemak semula di Mahkamah Tinggi, memberikan sekilas harapan kepada pribumi Kristian Malaysia.

(Diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk "For Bumiputera Christians, 'Allah' Ban Akin To Cultural 'Genocide', Says Archbishop" penulisan Ida Lim bertarikh 4 Oktober 2014)