Isnin, 14 Disember 2015

Pesta Krismas Jadikan UMS Contoh IPT Terbaik Di Malaysia

Madius semasa gimik perasmian acara tersebut

KOTA KINABALU:.Penganjuran Pesta Krismas edisi ke-4 menjadikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai contoh kepada universiti di Malaysia yang mengutamakan dan cintakan perpaduan. 

Demikian ungkapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, ketika berucap merasmikan Pesta Krismas UMS di Glory Christian Centre Jalan Damai. 

Poster Pesta Krismas UMS 2015
“Saya berharap, Pesta Krismas ini akan terus menjadi budaya di UMS agar dapat dilihat oleh pihak luar bahawa UMS mempunyai keistimewaan dengan memberikan peluang kepada semua penuntut merasai suasana perayaan yang disambut di negara ini, “katanya.

Berucap pada majlis tersebut, beliau juga berharap agar Pesta Krismas pada tahun hadapan akan dapat dibuat di dalam kawasan UMS seperti edisi ke-3 yang lalu dan turut menyarankan agar pihak penganjur membuat persiapan sejak dari awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan. 



Tambah beliau, sebagai rakyat Malaysia sifat berpandangan negatif terhadap kepercayaan orang lain haruslah dikikis dan menanamkan sifat saling memahami dan bekerjasama bagi menjamin perpaduan di negara ini.

“Mempolitikkan isu agama tidak akan membawa kepada penyelesaian tetapi jika sifat saling memahami diamalkan, masalah ini akan dapat diselesaikan,” katanya.


Acara Pesta Krismas UMS 2015 (Foto: Facebook Pesta Krismas Harmoni)

Pesta Krismas pada tahun ini dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 3,000 orang pengunjung yang turut menghiburkan para pengujung dengan pelbagai persembahan. – Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

(Diambil daripada artikel Sayang Sabah bertajuk, "Pesta Krismas Jadikan UMS Contoh IPT Terbaik Di Malaysia" penulisan Leolerry Lajius bertarikh 14 Disember 2015)