Isnin, 20 Februari 2017

Keluarga Pastor Yang Diculik Menawarkan Ganjaran RM10,000 Untuk Maklumat


PETALING JAYA: Keluarga Raymond Koh, pastor yang telah diculik di sini pada 13 Februari, telah menawarkan ganjaran RM10,000 untuk maklumat yang membawa kepada pengembaliannya, NST Online melaporkan hari ini.

"Saya ingin merayu kepada mereka yang telah mengambil suami saya untuk mengembalikannya dengan selamat dan tanpa cedera kepada saya dan anak-anak saya.

"Saya juga merayu kepada mana-mana saksi untuk tampil ke hadapan.

"Saya juga ingin menawarkan ganjaran berjumlah sehingga maksima RM10,000 untuk maklumat yang membawa kepada penyelamatan suami tersayang. 

"Sila WhatsApp Jonathan di nombor 011-39732670," begitu kata mesej dari isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke, 61 tahun, yang diedarkan di media sosial.

Jonathan adalah anak lelaki pasangan itu yang berusia 32 tahun.

Dalam mesej itu juga terdapat keterangan Liew mengenai penculik-penculik suaminya.

"Mereka bertopeng. Penculikan itu telah dilakukan dengan profesional dan cekap, mengambil kurang daripada 60 saat."

Liew berkata salah seorang daripada penculik itu dengan tenang merakam video semasa penculikan terjadi sementara yang lainnya mengarahkan lalu lintas. 

"Penculik-penculik itu mempunyai wang, atau disokong oleh wang, atau oleh suatu organisasi yang mempunyai wang kerana kereta-kereta yang mereka gunakan adalah kereta-kereta SUV yang mahal, yang mana sekurang-kurangnya satu daripadanya adalah Toyota Alphard berwarna hitam.  

"Penculikan itu telah dirancang, mengikut masa, dan dilaksanakan pada kesempatan yang baik, yang menunjukkan bahawa mereka sedang menunggu suami saya, yang memandu sebuah kereta lama Honda Accord berwarna perak dengan nombor pendaftaran ST 5515 D."

Polis telah mengesahkan bahawa Koh telah dilaporkan diculik di Jalan SS4b/10, kurang dari 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis, di sini, pada kira-kira 10.30 pagi pada 13 Februari.

Menurut isterinya, Koh telah meninggalkan rumahnya di Seksyen 16 untuk pergi ke Kondominium Puncak Damansara di Kampung Sungai Kayu Ara, tetapi mengambil keputusan berhenti di rumah seorang kawan di Kelana Jaya untuk menghantar belacan. 

Dia dilihat kali terakhir memakai baju T berleher polo berwarna kuning air dan seluar panjang kelabu gelap.

Satu mesej yang mendakwa bahawa Koh telah diketemukan telah muncul di media sosial tidak lama selepas itu, tetapi keluarga Koh telah menyatakan pada hari Khamis bahawa ianya adalah satu berita palsu yang kejam dan pastor itu masih hilang. 

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Family Of Kidnapped Pastor Offers RM10,000 For Information" bertarikh 19 Februari 2017)