Ketika sesetengah pihak dilihat bersikap keras melampau dan
menolak kehadiran orang bukan Islam berbuka puasa bersama, Mufti Wilayah
Persekutuan hadir di majlis seumpama itu di Shah Alam semalam.
Malah majlis itu mempertemukan orang Islam dengan paderi
Kristian.
Untuk menunjukkan rasa berbesar hati seronok dan terujanya,
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut membawa bersama isteri dan anak
beliau.
"Biasanya saya jarang bawa mereka," katanya semasa
menyampaikan ucapan ringkas di majlis berkenaan semalam.
Klip ucapan Zulkifli dimuat naik di akaun Facebook.
Dalam ucapannya beliau menyatakan Allah mencipta manusia
dengan pelbagai latar supaya mereka saling kenal mengenali.
Bagaimanapun perbezaan itu akan mendatangkan masalah jika
tidak ditangani dengan betul.
"Mengapa sesuatu bencana berlaku? Ia berlaku sebab kita
tidak dapat mengurus salah faham, tidak dapat menguruskannya dengan cara
sebenar hingga akhirnya cross of line berlaku," katanya.
Dianggarkan lebih 100 orang menghadiri majlis di sebuah
hotel itu.
Zulkifli turut membuat jemputan terbuka kepada hadirin untuk
melawat pejabatnya di Putrajaya.
Sementara itu Presiden Global Unity Network (Unity), Shah
Kirit Kakulal Govindji, berkata program seumpama itu adalah yang ketiga
dianjurkan mereka setakat ini.
Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012 itu berkata majlis
berkenaan bertujuan mahu memecahkan prejudis dan pemikiran negatif antara
penganut agama di Malaysia.
Menyarankan segala salah faham diselesaikan secara rundingan
Shah Kirit berkata, pelbagai perbezaan latar belakang rakyat negara ini
sebenarnya menjadi kekuatan kepada Malaysia.
"Tak semua masalah boleh diselesaikan dengan rundingan
yang dibuat, tetapi sekurang-kurangnya wujud persefahaman antara orang Islam
dan Kristian," katanya.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Mufti Berbuka Puasa Semeja Dengan Paderi" bertarikh 6 Jun 2017)