Jumaat, 24 November 2017

Polis Tak Pasti Bagaimana Barangan Ditemui Di Rumah Suspek


INKUIRI SUHAKAM l Tiada sebarang perkembangan di sebalik penemuan empat barangan yang berkaitan dengan kehilangan Paderi Raymond Koh di rumah suspek yang ditembak mati oleh polis pada Jun lalu, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Mah Weng Kwai.

Mah memberitahu siasatan awam Suhakam hari ini bahawa kekurangan tindakan susulan berhubung penemuan itu menjadi tanda tanya tentang kes kehilangan paderi berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat yang memberi keterangannya hari ini, berkata beliau tidak mempunyai penjelasan mengenai mengapa barangan - gambar Koh, kereta, rumah serta nombor pendaftaran kenderaannya - ditemui di rumah suspek.

“Sebab itu, mengapa empat individu itu disiasat... disebabkan barang-barang ada di rumah suspek, mereka (polis) beranggapan ada hubungan.

“Sebab itu tangkapan (kemudian) diserahkan kepada kami,” kata Fadzil.

Walau bagaimanapun, kemudiannya, katanya, didapati bahawa individu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan penculikan Koh dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor,
SAC Fadzil Ahmat

Fadzil juga menegaskan bahawa isteri suspek yang mati itu juga ada disoal-siasat, walaupun di Kedah, tidak seperti empat suspek lain yang disoal di Petaling Jaya.
“Memang ada (soal-siasat). Perempuan (itu) ditahan reman seminggu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor itu berkata siasatan yang dijalankan tidak banyak membantu polis.

Apabila disoal bagaimana barang-barang itu berakhir di rumah suspek, Fadzil berkata pihak polis juga mahu mengetahui jawapan kepada soalan berkenaan.

"Tetapi setakat ini tiada jawapan," katanya.

Fadzil menekankan bahawa siasatan polis kemudiannya mendapati fakta bahawa tiga suspek berkenaan bukan ahli kumpulan ekstremis.

Bagaimanapun, suspek yang ditembak mati di Kedah adalah pemimpin utama dalam sindiket penyeludupan dadah dan senjata api di sempadan Malaysia, katanya.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Polis Tak Pasti Bagaimana Barangan Ditemui Di Rumah Suspek" yang ditulis oleh Alyaa Azhar bertarikh 23 November 2017)