Isnin, 12 Mac 2018

5 Pengajaran Penting Mengenai Seks Dari Alkitab



1. Seks bukan cuma perbuatan fizikal; ianya juga adalah perbuatan yang suci dan rohani. 

Apabila kita menjadikan seks sebagai cuma suatu perbuatan fizikal yang memberi nikmat, kita sedang "menggunakan" pasangan kita daripada benar-benar mengasihinya. Kita juga sedang membina suatu jalinan dengan orang itu yang jauh melebihi daripada yang fizikal. Itulah sebabnya kenapa terjadi begitu banyak kesakitan, kekeliruan dan penderitaan dalam putus hubungan antara pasangan seks yang tidak wujud dalam jenis-jenis hubungan yang lain. Ini juga adalah salah satu daripada banyak sebabnya mengapa seks secara rambang dan/atau pelacuran adalah tidak baik. 

Tidak tahukah kamu, bahwa tubuhmu adalah anggota Kristus? Akan kuambilkah anggota Kristus untuk menyerahkannya kepada percabulan? Sekali-kali tidak! Atau tidak tahukah kamu, bahwa siapa yang mengikatkan dirinya pada perempuan cabul, menjadi satu tubuh dengan dia? Sebab, demikianlah kata nas: "Keduanya akan menjadi satu daging." Tetapi siapa yang mengikatkan dirinya pada Tuhan, menjadi satu roh dengan Dia. 1 Kor 6:15-17

2. Monogami seumur hidup dalam pernikahan adalah rancangan terbaik untuk seks.

Tuhan inginkan kehidupan seks anda MENAKJUBKAN, tetapi ianya perlu menakjubkan dengan orang yang telah anda kahwini. Jika anda mula mencari di luar pernikahan, semua orang akan terluka. Fikirkan seks umpama api dan pernikahan umpama tempat perapian (fireplace). apabila api berada di tempat perapian, ianya memberikan cahaya dan memanaskan seluruh rumah, tetapi apabila anda mengambil api itu keluar dari tempat perapian dan menyebarkannya di merata tempat, semua orang akan terbakar! 

Diberkatilah kiranya sendangmu, bersukacitalah dengan isteri masa mudamu: rusa yang manis, kijang yang jelita; biarlah buah dadanya selalu memuaskan engkau, dan engkau senantiasa berahi karena cintanya. Amsal 5:18-19


Jika anda sedang berfikir mengapa seks harus hanya eksklusif dalam pernikahan, fikirkan "seks" umpama api. Api adalah sesuatu yang sangat bagus apabila digunakan dan dinikmati dengan betul. Jika anda menyimpannya di tempat perapian, ianya menyediakan suhu panas dan cahaya untuk seluruh rumah, tetapi jika anda merebakkan apinya di sekeliling rumah dan mengabaikan batasan perlindungan tempat perapiannya, orang-orang akan terbakar. Pernikahan itu umpama tempat perapian. Ianya adalah tempat yang sempurna untuk berkat seks dinikmati. Apabila kita mengabaikan seks sebagai sesuatu yang eksklusif dalam pernikahan, selalunya akan ada orang yang terbakar secara emosi dan/atau jasmani. 

3. Fantasi seks dalam fikiran anda adalah sama pentingnya dengan seks di kamar tidur. 

Yesus telah meletakkan standard yang tinggi untuk "pernikahan yang setia." Dia mengajar bahawa monogami bukan saja berupa jasmani tetapi juga secara mental. Jika pemikiran kita adalah berunsur lucah, ianya akan membawa impak negatif terhadap mengalami keintiman dalam perkahwinan. Kita juga harus mengamalkan "monogami secara mental" untuk mengalami segala yang Tuhan rencanakan untuk seks dan perkahwinan. Apabila seseorang menantikan pernikahan sebelum mengadakan seks, dia juga melindungi fikirannya daripada mengalami ulang tayang kenangan seks waktu silam yang boleh menyebabkan perbandingan, fantasi, penyesalan dan waktu yang lebih sukar untuk berhubung secara sepenuhnya dan eksklusif dengan pasangan hidupnya. 

Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang memandang perempuan serta menginginkannya, sudah berzinah dengan dia di dalam hatinya. Matius 5:28 

4. Dosa seksual adalah dalam kategorinya yang tersendiri oleh kerana kemusnahan yang dibawanya.

Ramai daripada kita telah diajar bahawa semua "dosa" (pelanggaran hukum-hukum Allah) adalah dalam kategori sama, dan sementara semua dosa melukakan Tuhan dan manusia, dosa seksual adalah dalam kategorinya yang tersendiri oleh kerana akibatnya yang negatif dan berkuasa untuk semua orang yang terlibat. Alkitab mengatakan begitu banyak mengenai dosa seksual khususnya untuk MELINDUNGI kita daripada akibatnya. Jangan sekali-kali mencari kenikmatan sementara yang membawa penyesalan kekal!

Jauhkanlah dirimu dari percabulan! Setiap dosa lain yang dilakukan manusia, terjadi di luar dirinya. Tetapi orang yang melakukan percabulan berdosa terhadap dirinya sendiri. 1 Korintus 6:18

5. Anda boleh mendapat kesembuhan daripada penyesalan seks waktu silam dan/atau penderaan seks waktu silam.

Kebanyakan kita mempunyai sesuatu pengalaman seksual yang buruk dari masa silam kita. Ianya mungkin datang dari pilihan silap yang kita sesali atau kehancuran dari penderaan yang kita alami. Dalam kedua-dua jenis keadaan itu, Tuhan mahu membawa kesembuhan dan damai kepada anda. Tuhan mengasihi anda lebih daripada yang anda dapat sangkakan. Kasih karunia Tuhan lebih besar daripada kesilapan terbesar kita. Izinkanlah kasih dan rahmat-Nya untuk menyembuh luka-luka dalam hati anda yang terluka. 

Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang. 2 Korintus 5:17

(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Patheos bertajuk, "Tim Tebow's 5 Reasons For Not Having Sex Before Marriage" penulisan Dave Willis bertarikh 30 November 2015)