Sabtu, 21 November 2020

Joyce Meyer: Jadikan Hidup Anda Pengembaraan Yang Mengujakan


Oleh Joyce Meyer:

Apakah ertinya dipimpin oleh Roh Kudus? Sesetengah orang akan merujukkannya sebagai dipenuhi dengan - atau peka kepada atau diurapi oleh - Roh Kudus. Itu kedengaran benar-benar rohani, tetapi dipimpin oleh Roh Kudus sebenarnya adalah satu bahagian yang amat praktikal dalam kehidupan Kristian.

Ringkasnya, untuk dipimpin oleh Roh Kudus bererti untuk mentaati-Nya.

Roh Kudus melakukan pekerjaan yang begitu hebat tetapi praktikal dalam kehidupan anak-anak Tuhan. Dialah Penghibur kita, Penasihat, Penolong, Pendoa Syafaat, Pembela, pemberi kekuatan dan sentiasa siap membantu kita. Dia mengajar kita dan memimpin kita dalam kebenaran... Dia juga mengingatkan kembali kepada kita perkara-perkara yang kita telah belajar ketika kita memerlukannya.

Dan yang paling bagusnya Dia tinggal di dalam setiap kita. Efesus 3:16 (AVB) menyatakan, "Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu." 

Pastor Joyce Meyer

Dia datang tinggal dalam hati kita ketika kita dilahirkan kembali, kemudian Dia mengajar dan memimpin kita menurut rencana dan tujuan Tuhan dalam hidup kita. Salah satu caranya Dia melakukan ini adalah dengan menginsafkan kita akan dosa-dosa dalam hidup kita; kita mempelajari apa yang betul dan salah sambil kita bertumbuh dalam iman. Kita mungkin menempuh hidup dengan perkara yang tidak betul untuk sejangka waktu, tapi waktunya akan tiba untuk kita menjadi dewasa.

Saya masih ingat ketika saya pergi ke gereja setiap Ahad dan kemudian gosip mengenai pastor atau apa pun yang saya tidak suka mengenai kebaktian itu. Tentu saja saya bukan seorang Kristian yang gembira pada waktu itu. Dan saya bukan contoh yang baik sebagai orang percaya. Sikap yang kritikal dan menghakimi seperti itu, atau bersungut-sungut, dengan tidak bersyukur dan sering mengeluh menghalang hubungan kita dengan Tuhan dan penampilan kita sebagai orang Kristian.

Tetapi akhirnya, saya mendapat perasaan tidak senang berulang-ulang setiap kali saya mengatakan sesuatu yang negatif mengenai pastor - atau sesiapa pun juga. Saya dapat rasakan bahawa apa yang saya katakan itu adalah salah, dan saya tahu dalam hati saya, ianya adalah Roh Kudus yang sedang memberitahu saya bahawa sudah tiba waktunya saya menjadi dewasa dan matang secara rohani. 

Kini saya dengan segera menyedari apabila saya mengatakan atau melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan Tuhan. Dan itulah yang Tuhan kehendaki dari semua anak-anak-Nya: untuk membina kepekaan dan ketaatan terhadap suara-Nya sambil Dia memimpin setiap kehidupan kita. Roma 8:14 mengisytiharkan bahawa "kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah" Istilah "anak-anak" ini menunjukkan tahap kematangan dan keintiman dalam hubungan kita dengan-Nya.


Tuhan tidak mencari robot-robot rohani; Dia inginkan anak-anak. Dia tidak mahu kita semua hanya mengikuti selonggok peraturan semata-mata untuk ketaatan. 

Yesus telah membuka jalan, menerusi pengorbanan-Nya yang sempurna, untuk dosa-dosa kita dibasuh sepenuhnya dan dilenyapkan daripada kita supaya kita boleh memiliki hubungan peribadi dengan Tuhan. Kita bebas untuk mentaati-Nya semata-mata kerana kita mencintai-Nya dan kita tahu bahawa setiap perkara Dia suruh kita lakukan, atau tidak lakukan, adalah untuk kebaikan kita. Kita cuma perlu mengikuti pimpinan-Nya. 

Sebenarnya adalah sangat mengujakan mengikuti Roh Kudus. Saya boleh memberitahu anda bahawa hidup tidak akan pernah membosankan dengan Dia memimpin kita. 

Joyce Meyer dan suaminya, Dave

Ketika saya pertama kali bertemu dengan suami saya, Dave, dan dia pada waktu itu sedang berdoa untuk pasangan hidup... dan khususnya untuk seseorang yang memerlukan pertolongan. Dia datang ke rumah pada suatu hari untuk melawat kawannya yang tinggal di tingkat atas dari kami. Saya berada di luar tengah mencuci kereta saya, dan dia berkata, "Bila kamu habis cuci yang itu, mahukah kamu mencuci kereta saya?" Jawapan saya adalah, "Jika kamu kamu mahu keretamu dicuci, kamu boleh cucinya sendiri!"

Itu pasti Roh Kudus yang memimpinnya, sebab dia kata bahawa itulah ketikanya dia berfikir, Itulah gadis untukku!

Kisah setiap orang berbeza tetapi maksudnya ialah Roh Kudus mahu memimpin setiap kita menurut rancangan-rancangan Tuhan untuk setiap daripada kehidupan kita. Dalam hubungan kita dengan Tuhan, bahagian kita adalah berdoa, mempelajari Firman-Nya dan belajar untuk membina kepekaan dan menjadi taat kepada pimpinan Roh Kudus 

Sambil kita melakukan itu, Dia berjanji, "Aku akan mengurniakan hati yang tidak terbahagi kepada mereka, dan Aku akan memberikan roh yang baru dalam diri mereka. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuh mereka dan Kukurniakan kepada mereka hati yang lembut" (Yehezkiel 11:19).

Percayalah kepada Roh Kudus dan ikutlah pimpinan-Nya. Anda akan mendapati bahawa jalan-Nya adalah pengembaraan yang terbagus dan mengujakan yang anda boleh temui!

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma Magazine bertajuk, "Joyce Meyer: Discover How To Make Your Life An Adventure" bertarikh 20 November 2020)