Sabtu, 27 September 2014

5 Pelajaran Penting Daripada Wanita-Wanita Iman


Oleh Michelle Derusha:

Apabila aku mula membuat penyelidikan dan menulis bukuku "50 Women Every Christian Should Know," aku tahu bahawa kisah wanita-wanita itu pastinya menarik, tetapi aku tidak menjangka bahawa kisah-kisah itu akan membawa kesan besar kepada kehidupanku di abad kedua puluh satu. Aku, seperti ramai orang, beranggapan bahawa sejarah itu tidak berkaitan denganku.

Aku tersilap.

Aku mendapati bahawa sungguhpun kita telah dipisahkan oleh masa, tempat dan keadaan, kisah wanita-wanita ini adalah juga kisah kita. Kita menghadapi perjuangan yang serupa; keperitan, keraguan dan persoalan yang serupa; kegembiraan yang serupa. Wanita-wanita ini walaupun hanya dikenang dalam sejarah, dapat mengajar kita pelajaran yang sangat berharga mengenai iman, ketaatan, pelayanan dan panggilan.

Berikut adalah lima pelajaran yang kita dapat pelajari daripada wirawati-wirawati dalam iman Kristian.

1. Ketaatan Tidak Selalunya Senang.

Catherine Booth
Apabila suami Catherine Booth, William tiba-tiba jatuh sakit, dia mengambil tempatnya dalam menjalankan tugas penginjilan dari tempat ke tempat.

"Ianya bukan aku yang melakukannya tetapi Roh Kudus," begitu ditulis oleh Catherine kemudiannya. "Dengan empat orang anak-anak kecil, ianya kelihatan bukan masa yang sesuai untuk melakukan penginjilan dari tempat ke tempat. Apa yang telah kulakukan ialah mengambil langkah pertama."

Langkah pertama itulah yang menjadi permulaan tiga dekad penginjilan untuk Catherine Booth, pengalaman yang bakal membuka jalan kepada pengasasan The Salvation Army bersama suaminya.

Waktu panggilan Catherine bukanlah mudah, tetapi dia tidak menunggu untuk keadaan yang sempurna. Sebaliknya, dia mempercayai gerak hati oleh Roh Kudus dan mentaati.

2. Halangan Dalam Perjalanan Boleh Menjadi Kesempatan.

Gladys Aylward
Apabila pengarah China Inland Mission membuat keputusan bahawa Gladys Aylward tidak cukup pintar dan tidak cukup muda untuk pelayanan misi, Gladys cuma mengubah strateginya.

Dia bekerja sebagai pembantu rumahtangga dan berlatih menginjil di penjuru-penjuru jalan di London selama dua tahun, dan apabila dia telah menabung cukup kewangan, dia membeli tiket untuk keretapi Trans-Siberia dan memulakan perjalanan jauh arah timur melalui Rusia ke China secara sendiri.

Di perkampungan atas bukit di Yangchen, Gladys mengasaskan Rumah Tumpangan Eight Happiness, yang pada mulanya menawarkan makanan dan penginapan kepada orang-orang dalam perjalanan, dan kemudiannya menjadi tempat tinggal untuk lebih 100 anak yatim piatu Cina.

"Aku bukanlah pilihan pertama Tuhan untuk apa yang telah kulakukan bagi China," dia pernah mengatakan. Namun Gladys Aylward enggan untuk menerima keputusan "tidak" sebagai kata akhir. Sebaliknya dia menganggap halangan dalam perjalanannya sebagai kesempatan untuk mengharungi penyimpangan jalan yang telah ditentukan Tuhan.

3. Melayani Di Mana Kita Berada.

Ruth Bell Graham
Pada usia 12 tahun, Ruth Bell tahu bahawa dia ingin mendedikasikan hidupnya kepada Kristus dengan melayani sebagai misionari di Tibet. Enam belas tahun kemudian, dia mengetepikan impiannya untuk pelayanan misi di Tibet apabila dia berkahwin dengan Billy Graham. 

Sebagai isteri Graham, tugas utama Ruth ialah untuk membesarkan 5 anaknya, melindungi mereka daripada perhatian umum yang keterlaluan, dan menyokong suaminya dalam pelayanan sedunianya. Walaupun dia bersifat berterus-terang  mengenai cabaran menjalani hidup dalam perhatian umum sebagai isteri penginjil yang terkenal serata dunia, dia tidak pernah menyatakan kekesalan mengenai keputusannya meninggalkan impian pelayanan misinya untuk berkahwin dengan Billy Graham.

Ruth Bell Graham menyedari bahawa melayani Tuhan tidak selalunya memerlukan pengorbanan yang radikal, tetapi sebaliknya, sering terjadi secara senyap, dalam tugasan biasa hidup sehari-harian. Seperti yang dicatitkan penulis biografi Patricia Cornwell, Ruth Bell Graham melayani terutamanya kepada seorang, tetapi dengan itu dia melayani kepada dunia.

4. Tetap Mengfokus Kepada Sudut Pandang Yang Lebih Luas.

Mary McLeod Bethune
Mary McLeod Bethune telah lulus pengajian di Institut Moody yang terkenal di Chicago pada 1887 sebagai satu-satunya wanita berkulit hitam dalam 1,000 orang penuntut, dan segera meletakkan harapan untuk melayani sebagai misionari di Afrika. Bagaimanapun apabila dia memohon kepada lembaga misi, Mary mendapati bahawa tidak ada peluang pekerjaan untuk "misionari Negro."

Itu adalah era yang berbeza dan sikap yang menjijikkan. Tetapi Mary bukan orang yang akan tinggal dalam kekecewaan dan dia memberi perhatiannya kepada misi yang baru: pendidikan kanak-kanak berkulit hitam. "Orang-orang Afrika di Amerika memerlukan Kristus dan persekolahan seperti juga orang-orang Negro di Afrika," katanya. "Pekerjaanku bukan di Afrika tetapi di negaraku sendiri."

Pada 1904, dengan $1.50 sebagai bayaran pendahuluan, Mary pun membuka Daytona Literary and Industrial School for Training Negro Girls. Kelas pertamanya terdiri daripada enam pelajar perempuan dan anak lelakinya sendiri. Pada hari ini, Bethune-Cookman College mempunyai 3,500 penuntut di kampus 80 ekar di Daytona Beach, Florida.

Mary McLeod Bethune mengelakkan cara pandang yang sempit akan panggilannya dengan mengfokus kepada sudut pandangan yang lebih luas. Apabila impian asalnya untuk melayani di Afrika dikecewakan, dia menumpukan kasihnya dan karunianya dan membawa impak kepada ribuan orang bukan di seberang laut, tetapi di tempat tinggalnya sendiri.

5. Iman dan Keraguan Boleh Wujud Bersama

Ibu Teresa
Dalam separuh kedua kehidupannya, Ibu Teresa bergumul dengan keraguan dan rasa kejauhan daripada Tuhan, pengalaman yang disebutnya sebagai "kegelapan yang dahsyat" dan "perasaan ketiadaan Tuhan."

Namun begitu, di tengah-tengah keadaan yang kelihatan tiada harapan, Ibu Teresa memberi dirinya dengan sepenuhnya kepada Tuhan. Ianya tidak menyekat keazaman misinya, sebaliknya pergumulan batinnya yang berat telah menambahkan kasihnya, dan menguatkan dedikasinya kepada golongan miskin di India. Kegelapan dan keraguan yang mengasaknya berterus-terusan, sebaliknya membawanya lebih dekat kepada Tuhan. Ibu Teresa berdoa tanpa henti-henti kepada Yesus, sehingga, atas cadangan daripada pengarah rohaninya,  menulis sepucuk surat kepada Yesus, meminta agar Tuhan membebaskannya daripada kemurungannya.

Akhirnya, Ibu Teresa mula memahami bahawa kegelapan yang dialaminya seperti suatu pemberian yang membolehkannya untuk menyelami secara peribadi dan secara dekat penderitaan Yesus. "Aku telah dapat menerima kegelapan itu," katanya. "Sebab aku percaya sekarang bahawa ianya sebahagian yang sangat-sangat kecil daripada kegelapan dan penderitaan yang dialami Yesus di bumi."

Kehidupan Ibu Teresa yang dipenuhi pengorbanan yang radikal, meskipun di tengah-tengah keraguan, menunjukkan kuasa iman untuk mengatasi biarpun kegelapan yang paling teruk.

(Diterjemah daripada artikel Relevent Magazine bertajuk "5 Big Lessons From Heroines Of The Faith" penulisan Michelle Derusha bertarikh 18 September 2014)