![]() |
Pastor Lam Kee Hing memegang buku penulisannya sambil diringi oleh isterinya, Mei Chan dan Presiden SIB Semenanjung, Rev Simon Petrus |
Pada Rabu lepas, 17 Jun 2025, telah berlangsung suatu acara pelancaran buku di Sidang Injil Borneo (SIB) Kajang. Buku itu yang bertajuk, "Kisah Kebangunan Rohani Di Sabah" telah ditulis oleh Pastor Lam Kee Hing.
Pelancaran buku itu telah dilakukan oleh Presiden SIB Semenanjung, Reverend Simon Petrus dalam acara yang disertai oleh pastor-pastor dan jemaat gereja tuan rumah dan gereja-gereja lain.
Dalam ucapannya, Rev Simon Petrus menghargai sumbangan Pastor Lam Kee Hing dalam menulis buku yang begitu penting dalam mengisahkan sejarah kebangunan rohani yang telah terjadi pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an di Sabah.
Acara pelancaran itu telah dimulai dengan pujian dan penyembahan yang dipimpin oleh pasukan penyembahan SIB Kajang. Selepas itu acara tarian tradisional Sabah juga telah dipersembahkan.
Selepas ucapan Rev Simon Petrus, pengacara majlis telah menjemput Pastor Lam Kee Hing dan isterinya, Mei Chan untuk tampil ke hadapan untuk acara pelancaran buku tersebut.
![]() |
Pastor Lam mengambil keluar bukunya "Kisah Kebangunan Rohani Di Sabah" |
Pastor Lam Kee Hing sewaktu dipanggil untuk menyampaikan ulasannya mengenai buku itu telah menceritakan bahawa dia pada mula-mulanya tidak merasakan dirinya layak untuk menulis buku itu.
Pastor Lam percaya dorongan daripada Roh Kudus dan dari rakan-rakan pastor yang lain telah akhirnya menggerakkan hatinya untuk menulis buku tersebut.
"Lebih ramai orang mengetahui mengenai kebangunan rohani di Bario dan Ba'kelalan di Sarawak. Tetapi tidak ramai orang yang tahu bahawa sebenarnya kebangunan rohani di Sabah telah bermula lebih awal setahun daripada yang berlaku di Sarawak, iaitu pada tahun 1972," kata Pastor Lam.
"Ada persamaan di antara kebangunan rohani di Sabah dan di Sarawak iaitu kebangunan rohani itu telah banyak melibatkan anak-anak muda dan kemudian menular kepada ibu bapa dan komuniti mereka.
![]() |
Pastor Lam Kee Hing dengan bukunya, "Kisah Kebangunan Rohani di Sabah" |
"Tetapi ada perbezaan dalam kebangunan rohani di Sabah dan di Sarawak. Manakala kebangunan rohani telah bermula di kawasan perkampungan di Bario dan Ba'kelalan di Sarawak, kebangunan rohani di Sabah telah bermula di bandar, iaitu di Kota Kinabalu.
"Satu lagi perbezaan antara kebangunan rohani di dua negeri itu adalah, manakala kebangunan rohani di Sarawak telah banyak menyentuh khususnya Gereja Sidang Injil Borneo, kebangunan rohani di Sabah yang bermula di Gereja Likas Kota Kinabalu telah menular kepada denominasi-denominasi lain seperti Gereja Katolik, Gereja Anglikan, SIB dan lain-lain," tambah Pastor Lam.
Acara pada malam pelancaran itu telah diakhiri dengan doa oleh Mei Chan, isteri Pastor Lam agar Tuhan membangkitkan api kebangunan rohani di kalangan pastor dan para jemaat yang telah hadir pada malam itu.
![]() |
Isteri Pastor Lam, Mei Chan mendoakan kebangunan rohani dibangkitkan lagi di kalangan pastor dan para hadirin |