Selasa, 2 Disember 2014

Larangan Memakai Salib Di Sekolah Tidak Berperlembagaan, Kata Pemuda BN Sabah

 Pihak Sekolah Menengah Ken Wah di Keningau telah melarang pelajarnya
 memakai simbol agama ke sekolah kerana ia dikatakan termasuk dalam
 garis panduan melarang pemakaian barang kemas di sekolah termasuk
 ‘simbol keagamaan’. – Gambar fail The Malaysian Insider 

Tindakan tegas harus diambil terhadap sebuah sekolah di daerah Keningau, Sabah jika benar seperti dilaporkan yang ia melarang pelajarnya memakai simbol agama ke sekolah, termasuk lambang salib, kata Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini.

Menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sekolah dan guru terbabit, Ketua Pemuda BN Sabah Yamani Hafez Musa berkata tindakan itu bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

“Larangan itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia berhubung kebebasan beragama, tetapi juga menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah," katanya menurut laporan The Star online.

Mengakui terkejut membaca berita itu yang dilaporkan akhbar tempatan Daily Express hari ini, beliau berkata garis panduan yang melarang pemakaian barang kemas di sekolah tersebut tidak sepatutnya termasuk 'tanda keagamaan.'

Ini akan menyentuh sensitiviti rakyat katanya kepada The Star, merujuk peraturan tersebut yang termasuk di dalam bahagian Kebersihan Diri bagi pelajar Sekolah Menengah Ken Wah di Keningau.

Pelajar bukan Islam terutamanya penganut Kristian, dilaporkan perlu mendapat kebenaran lembaga disiplin dan diberikan pas kebenaran sebelum boleh memakai lambang salib ke sekolah.

Perkara ini menurut The Star sudah disahkan seorang guru kanan sekolah tersebut.

“Ia sesuatu yang memeranjatkan bagi kami semua di Sabah yang terkenal dengan rakyatnya yang sangat bertoleransi, saling memahami dan menghormati agama satu sama lain.

"Inilah sebabnya kami boleh menikmati keamanan dan keharmonian di negeri ini sekarang. Oleh itu, perkara itu mesti disiasat dan dihentikan," katanya kepada akhbar itu.

Menurut Daily Express, sekolah itu didakwa ia hanya menurut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Pelajar yang melanggar peraturan itu dilaporkan akan diberi kaunseling dan dirotan atau digantung persekolahan sekiranya terus berdegil.

Pada 29 November, akhbar sama melaporkan pelajar Kristian di Kolej Matrikulasi Labuan di Sabah terpaksa bersembahyang di bawah pokok kerana tidak dibenarkan melakukan upacara itu di dalam bangunan kampus.

(Diambil dari artikel The Malaysian Insider bertajuk "Larangan Memakai Salib Di Sekolah Tidak Berperlembagaan, Kata Pemuda BN Sabah" bertarikh 1 Disember 2014)