Sabtu, 31 Januari 2015

Batu Sumpah: Kata-Kata Penting Yang Hilang Akan Dipulihkan

Batu Sumpah di Keningau

Kota Kinabalu: Tiga perkataan penting "Kerajaan Malaysia Jamin" yang telah dipadamkan oleh orang yang tidak berprinsip daripada Batu Sumpah Keningau yang bersejarah akan dipulihkan kembali. Batu itu juga akan dipindahkan ke tapak baru dan diisytiharkan sebagai warisan nasional. 

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, yang memberi jaminan ini, berkata adalah amat penting untuk memasukkan kembali tiga kata-kata itu di Batu Sumpah itu untuk mengekalkan dan menjamin fakta-fakta sejarah apabila ianya dipindahkan ke lokasi baru di Keningau tahun ini. 


Gambar lama menunjukkan kata-kata asal pada Batu Sumpah Keningau

"Saya telah mencuba segala cara untuk mencari siapakah yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan tiga perkataan penting itu dari Batu Sumpah, tetapi sampai sekarang tiada seorang pun yang memberitahu saya bagaimana dan kenapa ianya berlaku," Kurup memberitahu sidang akhbar di Muzium Negeri pada hari Jumaat. Juga hadir bersama ialah Pengarah Muzium Negeri, Joanna Kitingan dan Pengarah Arkib Negeri, Mohd Said Hinayat.

Kata-kata "Kerajaan Malaysia Jamin" memberi jaminan kepada rakyat Sabah, terutama pribumi, mengenai kebebasan beragama, mempertahankan autonomi tanah, dan melindungi budaya dan tradisi kaum pribumi.

Batu Sumpah itu telah didirikan di Keningau pada 31 Ogos 1964, dalam upacara yang disaksikan oleh pemimpin-pemimpin Persekutuan dan Negeri, termasuk Yang Di Pertuan Agung ketika itu.


Datuk Seri Joseph Kurup memberi sidang akhbar di Muzium Negeri

Kurup berkata bahawa Batu Sumpah juga akan dipindahkan daripada tapaknya sekarang di Pejabat Daerah Keningau ke lokasi baru berdekatan Jabatan Tanah dan Ukur sebelum penghujung tahun ini. 

Dia berkata pemilihan tapak itu telah dibuat melalui keputusan sebulat suara sebuah jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan untuk memulihkan Batu Sumpah itu, terdiri dari wakil-wakil kementrian, dan Kerajaan Negeri, dan yang lainnya.

"Pemilihan tapak baru itu telah dikatakan sesuai kerana ianya terletak berdekatan lokasi asal Batu Sumpah itu.

"Tambahan lagi, lokasi baru itu adalah lokasi yang strategik kerana semua pelawat termasuk yang datang dari Kota Kinabalu, Tambunan dan Tenom dapat melihat Batu Sumpah itu dari jalanraya. 

"Ini juga satu cara untuk meningkatkan kesedaran awam terutamanya generasi muda berkenaan sejarah Batu Sumpah itu," katanya.

Setelah Batu Sumpah itu diletakkan di tapak yang baru, Kurup berkata kerajaan merancang untuk mengisytiharkan Batu Sumpah itu sebagai warisan nasional kerana kepentingannya dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Daily Express bertajuk, "Oath Stone: Key Words To Be Reinstated" bertarikh 31 Januari 2015)