Ahad, 13 September 2015

Kesaksian Don Piper - Mati Dalam Nahas, 90 Minit Di Syurga


CBN.com - MENYEBERANGI JAMBATAN

Don Piper tidak tahu bahawa 18 Januari 1989 adalah hari terakhirnya di Bumi. Dia sedang dalam perjalanan kembali ke rumah dari Pusat Persidangan Trinity Pines lapan puluh batu di utara Houston. Don dijadualkan berkhutbah di gerejanya pada malam itu. 

Sepuluh minit selepas dia meninggalkan pusat persidangan itu, dia memandu di atas sebuah jambatan menyeberangi Tasik Livingston. Lori bertayar lapan belas datang dari arah bertentangan, menghentam kereta Ford Escortnya, dan membunuhnya. Don telah diisytiharkan mati oleh empat pegawai perubatan kecemasan. 

Tidak lama selepas kemalangan itu, Dick Onerecker, seorang pastor, tiba ke tempat kemalangan dan meminta untuk berdoa bagi orang yang terlibat dalam nahas itu. Pegawai itu berkata tidak kepada pastor itu - orang di bawah kain tarpaulin itu sudah meninggal dunia. tetapi Dick terus meminta untuk berdoa bagi orang itu. Akhirnya Dick diberi keizinan tetapi diingatkan bahawa tubuh orang itu dalam keadaan teruk.

Kereta Don Piper yang remuk dalam pelanggaran dengan lori treler lapan belas roda

Tuhan menggerakkan dalam hati Dick untuk berdoa agar tidak ada kecederaan kepala atau kecederaan dalaman. Sementara Dick sedang berdoa bersungguh-sungguh, Don sedang mengalami keindahan di syurga. Tetapi sebaik sahaja dia sampai ke gerbang pintu syurga, dia terpaksa meninggalkannya lagi. 

Pada detik sedarnya yang pertama kembali di Bumi, Don mengingat menyanyi bersama dengan Dick, "What A Friend We Have In Jesus." Tetapi waktunya di syurga itu tidak melenyapkan penderitaannya di bumi. Dia akan mengharungi perjalanan yang jauh  di hadapannya untuk mendapat kembali kesihatannya. 

"Kesakitan menjadi temanku selalu. Untuk waktu yang lama, aku tidak pernah bebas dari kesakitan di seluruh tubuhku," ingat Don. Secara ajaib, Don tidak mengalami kecederaan kepala dan kecederaan dalaman. Dia menghabiskan lebih 100 hari di hospital dengan rawatan yang menyakitkan dan anggota tubuh yang kurang upaya.

Sehingga kini, Don telah menjalani 34 pembedahan. Kebolehannya untuk berjalan adalah sesuatu mukjizat. "Kadang-kadang aku menanya Tuhan mengapa aku tidak diizinkan tinggal terus di syurga. Aku tidak ada jawaban untuk soalan itu. Tetapi aku telah belajar bahawa Tuhan telah membawa orang-orang ke dalam hidupku yang memerlukan aku atau perlu mendengar mesejku," kata Don.

90 MINIT DI SYURGA

Don mengingat bahawa dia memandu di atas jambatan itu dan detik selepas itu dia mengingat berdiri di Syurga. "Ianya (Syurga) sempurna, dan aku tahu bahawa aku tidak punya keperluan apa-apa, dan tidak akan pernah ada lagi keperluan." kata Don. Cahayanya, pemandangannya, pelukan, keindahan, warna dan nadanya jauh melebihi apapun yang pernah dilihatnya. 

"Dari kelompok penyambut tamu syurgawi, bunyi kepakan sayap malaikat, dan pelbagai jenis bunyi," Don berkata, "Syurga adalah pengalaman yang sangat menakjubkan kepada deria." Ianya merasa lebih nyata daripada apa pun yang pernah dialaminya. 

Sejak kunjungannya yang pendik ke Syurga, Don berkata dia telah banyak kali memikirkan tempat yang indah itu. "Tidak sehari pun berlalu tanpa aku merasa kerinduan yang kuat untuk kembali ke kota syurgawi itu di mana aku telah mendengar muzik yang paling sempurna dan memiliki damai sejahtera yang sepenuhnya dalam hati."

Buku "90 Minutes In Heaven"
yang ditulis Don Piper
Selepas kemalangan itu, Don berkata pandangannya berubah mengenai banyak perkara termasuklah Syurga. Walaupun dia pernah membaca mengenai Syurga dalam Alkitab dan mendengar khutbah mengenainya, segala sesuatu berubah apabila dia mengalaminya.

"Syurga tidak lagi jadi satu kemungkinan bagiku, ianya sudah menjadi sesuatu yang nyata. Syurga adalah realiti bagiku kini, bukan lagi hidup yang kujalani di Bumi," kata Don. Dia mencintai hidupnya di sini bersama keluarga dan kawan-kawan, tetapi sejak kemalangan itu, hidupnya kini lebih dekat kepada realiti syurgawi. "Aku sungguh diberkati kerana berkesempatan untuk sampai ke pintu gerbang Syurga. Itu adalah pemberian yang menakjubkan dan telah membawa impak yang besar dalam hidupku pada masa itu dan berterusan membawa impak yang sama kuatnya kepadaku hari ini," kata Don.





(Diterjemah oleh SDP daripada artikel CBN bertajuk, "Don Piper: 90 Minutes In Heaven")