Sekumpulan bekas pelajar yang sudah berjaya di dalam kerjaya
masing-masing telah berkumpul untuk melawat pensyarah universiti yang pernah
mengajar mereka. Mereka berasa gembira kerana dapat bersua sesama mereka
setelah lama tidak berjumpa, apatah lagi dapat menemui pensyarah universiti
yang selama ini telah banyak membantu mereka ketika menuntut ilmu di universiti
yang menatijahkan kerjaya yang baik buat mereka.
Setelah lama berbual, timbullah beberapa rungutan tentang tekanan di tempat
kerja dan juga dalam kehidupan seharian yang disuarakan oleh beberapa bekas
pelajar ini. Pensyarah itu hanya mendengar dan kemudian beliau ke dapur untuk
menyediakan minuman kopi untuk tetamu-tetamunya.
Beliau kemudiannya keluar dengan membawa satu bekas besar yang berisi minuman
kopi dan beberapa jenis cawan. Ada cawan yang diperbuat daripada porselin,
plastik, kaca dan kristal. Ada cawan yang kelihatan ringkas sahaja. Ada yang
nampak murah. Dan ada juga yang kelihatan mahal dan sangat cantik.
Pensyarah itu mempelawa tetamu-tetamunya agar melayan-diri. Masing-masing pergi
ke meja tempat dihidangkan minuman kopi itu dan menuangkan sendiri ke dalam
cawan yang berbagai-bagai bentuk, warna dan buatannya itu.
Beliau kemudian menyambung, “Itulah puncanya kepada masalah-masalah anda. Dan itulah sebabnya kenapa anda berasa tertekan dengan kerjaya dan kehidupan.”
“Saya pasti, cawan-cawan itu tidak memberikan apa-apa nilai kepada kopi yang
anda minum. Dalam beberapa situasi, cawan-cawan itu hanya membuatkan kopi yang
diminum itu lebih mahal harganya. Dan di dalam situasi yang lain, cawan itu
malah menyorokkan apa yang kita minum.”
“Apa yang anda semua betul-betul mahukan adalah minuman kopi itu. Bukan
cawannya. Tetapi anda tetap mahukan cawan yang terbaik sifatnya, dan kemudian
anda memandang dan menjeling ke arah cawan kawan-kawan anda untuk melihat
siapakah yang memiliki cawan yang paling cantik atau paling bagus.”
“Sekarang, cuba anda fikirkan. KEHIDUPAN adalah ibarat kopi. Manakala
pekerjaan, wang, pangkat dan kedudukan di dalam masyarakat adalah ibarat cawan.
Yang mana ia hanyalah bekas kepada KEHIDUPAN!”
“Rupa dan jenis cawan tidak memberi makna atau mengubah nilai KEHIDUPAN yang
sedang kita jalani ini. Kadang-kadang dengan kita hanya menumpukan kepada
rupabentuk CAWAN, kita gagal untuk menikmati MINUMAN KOPI itu. Jadi, nikmatilah
dan tumpukanlah kepada KOPI itu, bukan CAWANNYA!”
“Manusia yang bahagia bukanlah mereka yang memiliki yang terbaik dalam setiap
perkara. Manusia yang bahagia adalah mereka yang sentiasa membuat yang terbaik
di dalam setiap perkara.”
“Hiduplah dengan sederhana. Bercakaplah dengan baik, ambil beratlah dengan
sungguh-sungguh, berkasih sayanglah, bermurah hatilah… dan hayatilah kehidupan
ini dengan penuh makna. Jangan terlalu ditumpukan kepada aksesori kehidupan.”
Tonton Videonya: "Hidup Adalah Umpama Secawan Kopi"
(Saya mendapat kisah ini daripada seorang kawan di WhatsApp malam tadi. Saya tidak tahu siapa yang telah menterjemahkannya ke Bahasa Malaysia, tetapi terjemahannya bagus sekali!)