Pam Tebow memberi ucapan |
WASHINGTON D.C., 31 Januari 2017 - Berjuta-juta anak-anak telah kehilangan nyawa sejak pengguguran dibenarkan oleh undang-undang pada 1973 di Amerika Syarikat. Tim Tebow hampir menjadi salah seorang daripada mereka.
Tiga puluh tahun yang lalu, seorang doktor memberitahu ibunya, Pam, untuk menggugurkan bayi dalam kandungannya kerana terdapat komplikasi dalam penghamilannya yang berbahaya kepada kesihatannya. Doktor itu berkata bahawa bayi itu serupa dengan tumor (ketumbuhan) - atau dengan kata lain, bukan seorang manusia - yang harus dikeluarkan. Seolah-olah anak yang belum dilahirkan itu adalah satu penyakit.
Pam dan suaminya, kedua-duanya misionari Kristian, tidak teragak-agak untuk memilih kehidupan.
Jika mereka menjalankan pengguguran itu, dunia akan kehilangan seorang pemenang Piala Heisman dan seorang personaliti sukan yang telah memberi inspirasi kepada jutaan orang melalui imannya dan kesaksiannya untuk kehidupan.
Pam Tebow telah datang ke National Memorial for The Pre-Born and their Mothers and Fathers di DAR Constitution Hall yang mendahului March for Life (Perarakan Mendukung Kehidupan) pada hari Jumaat untuk menerima Anugerah Penghargaan Nasional Pro-Kehidupan dan untuk mengongsikan kisahnya. Dia telah menceritakannya berkali-kali kepada kelompok-kelompok di sekeliling negara, tetapi dia tidak pernah merasa penat menyebarkan khabar kehidupan kerana ianya adalah satu "kisah Tuhan."
"Kita memiliki satu penghormatan besar untuk menjadi suara bagi bayi-bayi yang belum dilahirkan yang tidak dapat bersuara," katanya semasa kebaktian doa nasional untuk bayi-bayi yang belum dilahirkan. "Kita boleh menjadi suara itu. Anda adalah suara itu ketika anda berarak pada hari ini. Anda adalah suara bersatu yang lantang untuk bayi-bayi yang belum dilahirkan."
Bagi keluarga Tebow "kisah Tuhan" ini telah bermula di Filipina, di mana mereka sedang berkhidmat sebagai misionari. Suami Pam yang telah terlibat dalam gerakan pro-hidup sebelum meninggalkan Amerika, telah merasa tersangat sedih memikirkan semua bayi-bayi yang telah digugurkan. Dia berdoa untuk bimbingan Tuhan dan membuat permohonan ini kepada Tuhan, "Tuhan, jika Engkau memberikan kami seorang anak laki-laki, kami akan membesarkannya untuk menjadi pengkhabar Injil."
Bob Tebow, ayah Tim. |
Pam telah menjadi hamil tetapi pendarahan berlaku hampir dari permulaannya lagi. Mereka merasa bimbang oleh kerana kemudahan perubatan yang kurang baik di Filipina, tetapi mereka tidak pernah goyah meskipun doktornya mendesak agar dia menggugurkan anaknya.
"Dia berkata, 'Kamu tahu, ianya bukan sebenarnya bayi. Ianya hanyalah segumpal tisu fetus. Ianya adalah satu tumor," kata Pam. "Dia menasihatkan bahawa saya perlu melakukan pengguguran dan melakukannya dengan segera untuk menyelamatkan nyawa saya."
"Kami memilih untuk percaya kepada Tuhan. Pada waktu itu, ianya tidak terasa seperti satu pilihan yang berani. Itulah satu-satunya hal yang kami tahu kami harus buat dan meletak kepercayaan kepada Tuhan untuk anak lelaki yang telah kami mohon daripada Tuhan."
Pendarahan akhirnya semakin berkurangan dan keluarga itu mengambil perjalanan ke ibukota, Manila di mana Tim telah dilahirkan. Seorang doktor yang telah dilatih di Amerika telah menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu dan anak.
Kemudiannya, doktor itu telah memberitahu mereka, "Saya mahu kamu tahu bahawa ini adalah bayi mukjizat, sebab pada sepanjang masa itu hanya secebis kecil plasenta yang bersambung," Pam mengingat kembali. "Jadi ini adalah bayi mukjizat."
Tim agak kekurangan khasiat ketika dilahirkan, jadi "kami meminta seluruh keluarga kami berdoa agar dia akan menjadi besar dan kuat."
Dan Tuhan telah menjawab doa mereka dengan cara yang besar.
Tim Tebow dan ibunya. Pam. |
"Timmy si tumor," itulah panggilan baginya oleh adik beradiknya ketika dia masih kecil, membesar menjadi seorang pemain quarterback setinggi 6 kaki 3 inci, seberat 245 paun, yang kemudiannya membintangi pasukan Universiti Florida, di mana dia memenangi Piala Heisman, anugerah tertinggi football kolej, pada tahun kedua kolejnya.
Di situlah perjalanan hidup Tim Tebow mula mendapat perhatian kebangsaan. Semasa temubual ESPN sebagai salah seorang peserta akhir Heisman, dia mengongsikan kisah pro-kehidupannya -- dan hairan sekali rangkaian itu menyiarkannya.
"Itu telah memberikan kami satu kesaksian serta-merta," kata Pam.
Beberapa tahun kemudian, keluarga Tebow mengambil keputusan untuk menyebarkan mesej kepada para penonton yang lebih ramai lagi dengan satu iklan 30 saat semasa Super Bowl yang menjadi perhatian dan kontroversi kerana mesej pro-kehidupannya.
"Kami memberitahu Tim, jika kamu mebuat iklan ini, kamu akan menghadapi penganiayaan," kata Pam. "Dia berkata, ya, itu ok, ini kisah saya dan saya mahu kongsikannya. Dan dia lakukannya dan semua penajanya menarik balik tajaan mereka. Tetapi ianya amat berbaloi."
Bagaimanakah ianya berbaloi? Telah dianggarkan bahawa lima juta orang di sekeliling dunia mengubah pendirian mereka mengenai pengguguran kerana sebuah iklan yang menunjukkan kasih ibu yang memberi kehidupan kepada anaknya - dan bahawa semua kehidupan itu adalah sangat bernilai.
Keluarga Tebow tidak pernah malu untuk berbicara mengenai iman Kristian mereka. Tim menjadi terkenal di kolej kerana memakai ayat-ayat Alkitab dan fenomena yang dikenal sebagai "Tebow-ing," ketika dia berlutut untuk berdoa di hujung padang selepas satu touchdown.
Jutaan peminat menyukainya, tetapi media menentangnya kerana sentiasa memaparkan iman kepercayaannya. Sukan itu ada keserupaan dengan politik iaitu dalam hal media umumnya tidak suka kepada rujukan keagamaan atau pernyataan iman secara terbuka.
Tim dapat menyertai NFL untuk jangka masa yang pendik, dengan kemuncaknya membantu Denver Broncos layak ke perlawanan akhir kejohanan AFC pada 2011, sebelum beredar ke bidang penyiaran. Pada waktu ini dia sedang mencuba dirinya dalam besbol profesional dengan menyertai pasukan New York Mets.
Buku "Shaken" oleh Tim Tebow |
Tim dan keluarganya masih terus menyentuh jiwa-jiwa. Dalam buku Tim, "Shaken," dia menceritakan bagaimana dia telah bertemu dengan sebilangan wanita yang telah mengubah fikiran mereka dan melahirkan bayi mereka. Pam secara berterusan bertemu dengan wanita-wanita yang telah membuat pilihan yang mengubah kehidupan itu.
Pam mengingati seorang wanita khususnya yang telah bertemu dengannya selepas suatu ucapan dan berkata, "Puan Tebow, Saya tidak menggugurkan kandungan saya oleh kerana kamu tidak. Dan saya telah tertarik selamanya (untuk berusaha menyelamatkan bayi-bayi yang belum dilahirkan). Ianya sebuah kisah Tuhan yang memuliakan Tuhan."
Anak-anak lain dalam keluarga Tebow adalah semua sepenuhnya menjadi pendukung untuk kehidupan, termasuklah seorang anak perempuan yang menyebarkan bahan-bahan pro-kehidupan sebagai seorang misionari di sebuah negara yang menganggap bayi-bayi yang belum diahirkan sebagai hanya segumpal tisu berdarah.
Pam kemudiannya memandang kepada hadirin yang telah berkumpul untuk kebaktian doa itu dan melaungkan dengan penuh semangat, "Kita perlukan kerjasama sebagai satu pasukan. Ianya memerlukan setiap kita, bukankah begitu, untuk mengambil pendirian bagi kehidupan."
(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Life Site bertajuk, "Doctors Told Tim Tebow's Mom To Abort Him. Now, She Wants To Make Abortion Unthinkable" yang ditulis oleh Doug Bean bertarikh 31 Januari 2017)