Khamis, 23 Februari 2017

Pasukan Petugas Khas Ditubuh Siasat Misteri Kehilangan Paderi


KUALA LUMPUR: Pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat kes kehilangan paderi, Raymond Koh Keng Joo yang dipercayai diculik pada pagi Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pasukan itu akan diterajui Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

"Kita telah buka siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. Saya telah arahkan pasukan petugas khas ditubuhkan diketuai Ketua JSJ Selangor untuk menyiasat kes ini," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Rabu.

Menurut Khalid, polis telah mengambil keterangan daripada lapan saksi bagi membantu siasatan.

"Kita menggesa mana-mana saksi kejadian supaya tampil bagi membantu merungkai kes ini," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, polis tidak menjumpai sebarang petunjuk yang boleh merungkai misteri kehilangan paderi tersebut.

"Kami masih lagi menyiasat kes ini. Belum ada petunjuk buat masa ini tetapi saya yakin ia akan diperoleh dalam masa terdekat," katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Raymond dipercayai diculik pada Isnin lalu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.

Raymond kali terakhir dilihat memandu kereta jenis model Honda Accord dengan nombor pendaftaran ST 5515 D seorang diri semasa kejadian.

Malah, ahli keluarga Raymond dilaporkan menawarkan ganjaran RM100,000 kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mangsa.

(Dipetik daripada artikel MStar bertajuk "Pasukan Petugas Khas Ditubuh Siasat Misteri Kehilangan Paderi" yang ditulis oleh Sofea Susan Albert Kassim bertarikh 22 Februari 2017)