Selasa, 28 November 2017

SIB Rayu Penolakan Akses Kepada Dokumen Larangan Kalimah Allah

Peguam SIB, Lim Heng Seng

Satu notis rayuan telah difailkan oleh Sidang Injil Borneo terhadap keputusan tidak memberikannya akses kepada dokumen-dokumen Kabinet yang telah membawa kepada larangan penggunaan kalimah Allah ke atas orang-orang bukan Islam pada tahun 1986.

"Kami juga akan menfailkan permohonan penangguhan prosiding (untuk rayuan ini didengar dahulu)," peguam SIB, Lim Heng Seng memberitahu Malaysiakini.

Notis rayuan telahpun difailkan dua minggu lalu, sebelum berakhirnya tempoh luput 30 hari, tetapi pengurusan kes telah diadakan semalam. 

Pada 16 Oktober, Hakim Nor Bee Ariffin telah membuat keputusan bahawa dokumen-dokumen Kabinet yang telah membawa kepada arahan larangan kalimah Allah itu adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), dan dengan itu tidak boleh ditunjukkan.

SIB telah memohon untuk dokumen-dokumen itu sebagai bahan maklumat untuk permohonan semakan kehakimannya, berkenaan dengan rampasan bahan-bahan keagamaan yang mengandungi kalimah Allah pada 2007. 

(Diterjemahkan daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "SIB Appeals Denial Of Access To 'Allah' Ban Documents" yang ditulis oleh Hafiz Yatim bertarikh 28 November 2017)