Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin (kiri) dan isteri Pastor Koh, Susanna Liew di siasatan awam Suhakam semalam. |
KETERANGAN Norhayati Ariffin kepada panel siasatan Suhakam
semalam mengenai penculikan suaminya, Amri Che Mat dinafikan pegawai cawangan
khas (SB) yang membuat laporan polis semalam.
Ketua polis Sentul, Timbalan Komisioner R Munusamy yang
menyoal balas Norhayati menunjukkan laporan polis kepadanya yang dibuat Sarjan
Shamzaini Mohd Daud, menafikan semua yang diberitahunya kepada panel semalam.
Selepas membaca laporan itu, Norhayati memberitahu panel
yang Shamzaini menyatakan tujuan dia melawat rumah Norhayati di Kangar, Perlis
pada 12 Mei adalah untuk bertanya jika Shamzaini boleh menyewa rumahnya.
“Saya tak tahu apa-apa mengenai laporan ini,” katanya kepada
panel siasatan.
Norhayati sebelum itu membuat laporan polis selepas bercakap
dengan Shamzaini mendakwa pegawai SB itu memberitahunya polis terlibat dalam
penculikan suaminya dan Pastor Raymond Koh.
Dia juga memberitahu panel mendakwa Shamzaini ada mengatakan
dia berani tampil dengan maklumat itu kerana perubahan kerajaan yang berlaku.
Tetapi dalam sesi soal balas hari ini, Munusamy bertanya
kepada Norhayati jika dia tahu semua maklumat diberikan Shamzaini adalah
maklumat umum.
Norhayati membalas dia tidak tahu semua butiran.
“Adakah anda terima maklumat lain daripada Shamzaini sebelum
membuat laporan polis pada 15 Mei?”
Norhayati membalas dia tidak pernah berjumpa atau bercakap
dengan Shamzaini selepas 12 Mei.
Munusmany kemudian memberitahu panel siasatan ketika
penculikan Amri pada November 2016, Shamzaini hanya melakukan kerja pentadbiran
di Cawangan Khas.
“Dia melakukan kerja pentadbiran sehingga Januari 2018,”
katanya.
Siasatan awam Suhakam dilakukan bagi menyiasat sama ada
kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth
adalah kes kehilangan paksa. – 31 Mei, 2018.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Pegawai SB Nafi Kenyataan Norhayati" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 31 Mei 2018)