Isnin, 25 Jun 2018

Ingin Tidur Lebih Baik? Pergilah Ke Gereja, Kajian Menunjukkan

UNSPLASH/VLADISLAV MUSLAKOV

Satu kajian baru oleh Universiti Texas di San Antonio telah mendapati bahawa orang-orang yang menghadiri kebaktian agama dan sering berdoa cenderung tidur lebih baik berbanding orang-orang yang kurang beragama.

Data daripada satu bancian besar di sekeliling negara baru-baru ini menunjukkan bahawa kehadiran dalam kebaktian ibadah dan kekerapan doa adalah dikaitkan secara positif dengan kualiti tidur secara keseluruhan, menurut kajian yang diterbitkan dalam Sleep Health: Journal of the National Sleep Foundation.

Kajian itu memperakui bahawa agama boleh "mengurangkan tekanan psikologi, penyalahgunaan bahan dan pendedahan kepada stres, yang semuanya berkaitan kesan ke atas tidur." 


"Kajian ini adalah dalam bidang yang agak kurang diterokai yang membenarkan kita untuk memahami lebih baik cara agama dan kerohanian membawa kesan kepada kesihatan dan kualiti hidup keseluruhan seseorang," kata Christopher Ellison dari Jabatan Sosiologi, Universiti Texas, yang bekerja bersama Terrence D. Hill, profesor sosiologi di Universiti Arizona, dan Reed T. Deangelis seorang alumni Universiti Texas dan mahasiswa kedoktoran di Universiti Carolina Utara di Chapel Hill, untuk kajian itu.

Menurut Universiti Texas San Antonio, "Ellison percaya data itu menunjukkan bahawa penglibatan keagamaan seseorang memberi manfaat kepada kesihatan mentalnya dengan mengurangkan stres, menggalakkan interaksi sosial dan sokongan daripada anggota-anggota gereja, membekalkan sumber-sumber psikologi (pengharapan, optimisme, rasa bermakna) dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat (tahap salahguna bahan yang lebih rendah)."

Terdapat banyak faedah dalam menghadiri gereja, seperti yang telah ditunjukkan oleh kajian-kajian sebelum ini.

Sebagai contohnya, pasangan yang telah bernikah yang menghadiri kebaktian gereja bersama-sama adalah lebih tinggi kemungkinan hidup lebih lama, lebih rendah kemungkinan mengalami depresi, dan lebih rendah kemungkinan bercerai, begitu didapati kajian, bertajuk "Religion and Health: A Synthesis," yang dijalankan oleh Tyler J. VanderWheele, profesor epidemiologi di Harvard School of Public Health pada 2016.


Pasangan suami isteri yang menghadiri kebaktian agama adalah 30 hingga 50 peratus kurang kemungkinan untuk bercerai berbanding mereka yang tidak menghadirinya, kajian itu menegaskan, dan menambah bahawa pasangan-pasangan seperti itu juga hampir 30 peratus kurang kemungkinan mengalami depresi dan, melalui tempoh susulan 16 tahun, menunjukkan mempunyai risiko kematian yang secara signifikan lebih rendah. 

Satu lagi kajian, yang diterbitkan oleh JAMA Psychiatry pada tahun yang sama, mendapati bahawa wanita-wanita Amerika Syarikat yang menghadiri kebaktian gereja sekali atau lebih dalam seminggu adalah lima kali kurang kemungkinan mengambil nyawa sendiri berbanding mereka yang tidak pergi ke kebaktian keagamaan.

Dalam kesimpulannya, penulis-penulis itu menyatakan, "Keputusan yang kami perolehi tidak membuat andaian bahawa pegawai-pegawai kesihatan harus mengusulkan kehadiran kebaktian keagamaan. Namun begitu, untuk pesakit-pesakit yang sudahpun mempunyai kecenderungan beragama, kehadiran kebaktian boleh digalakkan sebagai satu bentuk penglibatan sosial yang bermakna. Keagamaan dan kerohanian mungkin satu sumber yang kurang diberi perhatian yang boleh diterokai oleh ahli-ahli psikiatri dan pegawai-pegawai klinik dengan pesakit-pesakit mereka, di mana sesuai."

Juga pada tahun 2016. statistik daripada indeks kebahagiaan kebangsaan Britain menunjukkan bahawa orang-orang Kristian adalah di antara orang-orang paling bahagia di negara itu, manakala mereka yang tidak mengaitkan diri mereka dengan mana-mana agama menunjukkan secara amnya markah paling rendah perihal kepuasan dalam hidup.

(Diterjemahkan daripada artikel The Christian Post bertajuk, "Need Better Sleep? Go To Church, Study Finds" yang ditulis oleh Anugrah Kumar bertarikh 16 Jun 2018)