Selasa, 8 Januari 2019

Impian Adrianna Eva Bakal Tercapai

Ahmad Rafi menyampaikan cenderamata kepada Adrianna Eva sewaktu melawat Universiti
Multimedia di Cyberjaya kelmarin (gambar ihsan MMU)

CYBERJAYA 8 Jan. - Hasrat seorang calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Adrianna Eva Alfred Tais, 18, yang kisahnya tular kerana terpaksa menjadi tutor sambilan dengan bayaran 'Super Murah' bagi mencari wang, menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Multimedia (MMU) bakal menjadi kenyataan.

Ini berikutan kesediaan MMU menawarkan tempat melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan selain menyediakan bantuan kepada Adrianna Eva.

Kesediaan MMU itu disuarakan oleh Presidennya, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq sewaktu menerima kunjungan Adrianna Eva di MMU, di sini semalam.

"MMU prihatin terhadap nasib yang menimpa Adrianna Eva dan kami bersedia menawarkan tempat untuk beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan perundangan  sekiranya layak.

"Pada masa yang sama, MMU juga akan mempertimbangkan bantuan kewangan mengikut kelayakannya untuk sesi kemasukan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Rafi, antara bantuan kewangan yang boleh ditawarkan oleh MMU ialah Biasiswa Presiden, Biasiswa Merit, Biasiswa Kecemerlangan Sukan dan bantuan lain yang ditawarkan oleh organisasi atau yayasan yang bekerjasama dengan MMU.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Rafi turut menyelami kisah Adrianna Eva yang terpaksa menjadi tutor sambilan dengan bayaran serendah RM20 sejam demi meringankan beban keluarga berikutan masalah kesihatan bapanya yang dilaporkan menghidap kanser tulang tahap empat, sehingga menjadi tular dalam kalangan netizen, baru-baru ini.

Adrianna Eva yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), dilaporkan turut menjual nota kelasnya dengan harga RM2 hingga RM5 untuk mendapatkan sumber kewangan.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang peguam atau wartawan turut mempunyai impian mengikuti pengajian di MMU atau Universiti Malaya selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan pada Mac depan.

Ahmad Rafi turut mempelawa Adrianna Eva mengikuti Program Pengalaman Universiti (University Experience Programme) anjuran MMU untuk merasai sendiri pengalaman kampus di MMU Cyberjaya pada 26 Januari ini atau di MMU Melaka pada 25 hingga 27 Januari 2019.

(Diambil daripada artikel Utusan Online bertajuk, "Impian Adrianna Eva Bakal Tercapai" yang ditulis oleh Yulpisman Asli bertarikh 8 Januari 2019)