Ahad, 10 Mac 2019

Mimpi Profetik: Doa Anda Tak Menjadi Kerana Tak Disertai Iman


Oleh Bill Yount:

Dalam Roh, saya melihat banyak doa-doa sedang terangkat ke atas ke arah takhta Tuhan. Saya dapat merasa banyak daripada doa-doa itu sedang didoakan menurut kehendak Bapa yang sempurna. Banyak daripada doa-doa itu adalah agar kurnia, panggilan dan destini dijadikan nyata. Majoritinya adalah bungkusan-bungkusan doa untuk orang-orang yang tersesat, terutamanya ahli-ahli keluarga. Banyak daripada doa-doa itu terdiri daripada laungan keras, siang dan malam dengan berpuasa, yang telah menjadi beban berat dalam hati sejak bertahun-tahun. 

Sambil doa-doa itu terangkat, doa-doa itu sepertinya hanya sampai tahap tertentu dan jatuh kembali ke bumi seolah-olah melantun balik dari siling di mana doa-doa itu telah diucapkan. Saya melihat sesuatu di syurga sepertinya sebuah pejabat pos syurgawi yang besar di mana permohonan doa diterima dan jawapan doa diutuskan. Di pintu depan pejabat pos syurgawi ini tertulis dalam tulisan amat besar ayat Alkitab Filipi 4:6: "Janganlah hendaknya kamu khuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur."

Doa-Doa Ini Tidak Kesampaian

Sambil bungkusan-bungkusan permohonan doa dibawa masuk melalui pintu depan dalam perjalanan ke bilik takhta, saya kecewa dengan begitu banyak permohonan doa yang dihentikan dan tidak sampai ke bilik takhta untuk mendapat jawapan. Saya mendengar suatu suara yang menggoncangkan saya, "Permohonan-permohonan doa ini tiada disertai 'setem pos'. Hantar kembali kepada pengirimnya!"

Dalam Roh, saya melihat bungkusan-bungkusan permohonan doa itu seperti surat-surat yang tidak ada setem pos di atasnya. Surat-surat itu tidak boleh meneruskan perjalanan! Surat-surat yang saya lihat dapat meneruskan perjalanan ke bilik takhta disertai setem pos "kesyukuran". Surat-surat itu diberi keutamaan dalam bilik takhta itu, dan pengesahan serta-merta damai sejahtera dihantar kepada pengirimnya dengan ayat yang berikut: "Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus" (Filipi 4:7).

Sebelum jawapan kepada doa-doa itu dijadikan nyata di bumi, orang-orang yang telah menghantar permohonan mereka dengan kesyukuran sedang menerima jaminan akan apa yang diharapkan dan bukti untuk apa yang belum dilihat kerana damai Allah yang mereka terima melalui ucapan syukur.

Tidak Mungkin Ada Kesyukuran Kalau Tiada Iman

Banyak doa-doa untuk orang-orang kesayangan yang tersesat tidak benar-benar sampai ke destinasi syurgawi, bukan kerana umat tidak berdoa, tetapi mereka sebenarnya tidak percaya bahawa mereka akan menerima apa yang mereka minta. Oleh itu bersyukur adalah amat sukar bagi mereka.

Tuhan sepertinya berkata: "Beritahu umat-Ku bahawa mereka telah berdoa dan berdoa dan memenuhi syurga dengan doa mereka untuk orang-orang tersesat dan orang-orang kesayangan mereka. Mereka sebenarnya perlu berhenti berdoa dan hanya percaya kepada-KU untuk menyelamatkan mereka. 'Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus dan engkau akan selamat, engkau dan seisi rumahmu' (KPR 16:31). Ramai yang sedang memikul tanggungjawab yang palsu, merasakan bahawa merekalah yang bertanggungjawab untuk menyelamatkan keluarga mereka. Biarlah Aku mengingatkan bahawa engkau tidak dapat menyelamatkan dirimu; dan oleh itu engkau tidak dapat menyelamatkan sesiapapun yang lain. Oleh kerana Aku telah menyelamatkan kamu, Aku dapat menyelamatkan sesiapa juga!"

Ramai yang sedang berdoa dengan setia untuk ahli-ahli keluarga selama bertahun-tahun sebenarnya telah berdoa sehingga mereka merasa dalam keadaan depresi. Saya merasa Roh Kudus berkata, "Doa seperti ini tidak alkitabiah! Mulai percaya dan mulai berterima kasih kepada-Ku bahawa Aku akan menyelamatkan mereka sekarang. Bersyukur bahawa Aku akan membawa kembali orang-orang sesat. Cuma hantarkan beberapa setem "kesyukuran" dan Aku akan mengecop doa permohonan kamu untuk dibawa ke hadapan takhta. Mulai hidup seolah-olah doa kamu telah pun dijawab!"

Saya merasakan Bapa sedang mengatakan, "Sambil engkau berterima kasih kepada-Ku, teruskan dan mulai melayani orang-orang kesayanganmu yang tersesat seolah-olah mereka telahpun diselamatkan. Apabila englau melakukan ini, hidupmu akan begitu penuh dengan kesyukuran dan pujian dan penyembahan, dan engkau akan mula melihat UPS dan Fed Ex syurgawi-Ku tiba, membawa penghantaran laju dari syurga untuk permohonan-permohonan mustahil ke atas bumi. Pujian dan penyembahan menggerakkan-Ku untuk melakukan tindakan berkat yang luar biasa ke atas bumi!"

Saya mengingati apabila Petrus telah dimasukkan ke penjara dan gereja sedang berdoa untuk perlepasannya (lihat KPR 12:6-17). Pada waktu itu juga ada kebaktian doa diadakan untuk Petrus di rumah seorang wanita. Wanita itu bernama Maria. Apabila malaikat datang dan melepaskan Petrus, Petrus terus berlari ke rumah Maria (lihat KPR 12:7-12). Saya percaya dia telah merasakan kuasa doa mereka.

"Engkau Pastinya Telah Melihat Hantunya!"

Apabila Petrus mengetuk pintu rumah, seorang gadis bernama Rhoda, telah membuka pintu dan begitu teruja, sehingga dia terlupa menjemput Petrus masuk. Rhoda berlari masuk ke kebaktian doa itu dan bersorak, "Petrus ada di pintu rumah. kita boleh berhenti berdoa sekarang!"

Entah apa sebabnya mereka seperti tidak mendengarkannya. Mungkin ada yang sedang memberikan ucapan nubuatan bahawa Petrus akan dilepaskan tidak lama lagi. Sekali lagi, saya dapat mendengar Rhoda menjerit, "Jawapan doa kita sudah ada di depan pintu. Kita boleh berhenti berdoa!" (lihat KPR 12:13-15)

Akhirnya, Rhoda dapat menarik perhatian kumpulan yang berdoa itu, dan beginilah suhu rohani dalam bilik doa itu; inilah yang mereka katakan kepada Rhoda: "Engkau mengigau - engkau pastinya telah melihat hantunya!" (lihat KPR 12:15). Atau dalam kata lain, "Kami tak percaya!"

Engkau Tidak Akan Melihatnya Jika Engkau Tidak Percaya

Anda boleh berdoa untuk seratus tahun, tetapi sekiranya anda tidak percaya bahawa anda akan menerima apa yang anda minta, anda tidak akan pernah melihatnya. "Kerana itu Aku berkata kepadamu: apa saja yang kamu minta dan doakan, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, maka hal itu akan diberikan kepadamu" (Markus 11:24).

Secara peribadi saya percaya ada kebaktian doa yang perlu dihentikan. Banyak gereja yang mengadakan kebaktian doa. Tetapi sedikit gereja yang mengadakan kebaktian "doa - percaya." Lebih mudah untuk Petrus keluar dari penjara berbanding dengan memasuki kebaktian doa itu.

Kesyukuran Kita Membuktikan Iman Kita

Selepas ini, apabila anda berdoa, cuba letakkan setem pos kesyukuran pada permohonan anda. Saya janji, anda akan jauh lebih lagi menikmati waktu doa anda, dan anda kemungkinan akan hidup jauh lebih lama.

Doa yang disertai kesyukuran membuktikan kepada Tuhan bahawa kita percaya kita akan menerima apa yang kita sedang minta.

Sebagai seorang ayah, apabila anak-anak saya terlebih dahulu berterima kasih kepada saya untuk sesuatu, sukar untuk saya mengelak daripada memberikannya kepada mereka!

Bill Yount adalah anggota Bridge of Life Church di Hagerstown, Maryland, untuk tempoh 40 tahun yang lepas dan memegang jawatan kepimpinan. Dia telah melayani dengan setia dalam pelayanan penjara di Mount Hope Inc untuk 23 tahun dan kini menjelajah sepanjang masa, melayani di gereja-gereja dan di kalangan lingkungan Aglow. Dia kini adalah penasihat Aglow International.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "Prophetic Dream: Your Prayers Aren't Working Because You Have No Faith" yang ditulis oleh Bill Yount yang bertarikh 9 Mac 2019)